Peningkatan suhu perlu diberi perhatian serius

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara perlu memberi perhatian serius terhadap impak peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah Celsius yang mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir, kata Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

- Advertisement -

Beliau berkata penekanan terhadap perkara itu dibuat semasa Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN) 2021 yang dipengerusikannya secara maya hari ini dan dihadiri Menteri-menteri Persekutuan, Menteri-menteri Besar/Ketua-ketua Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta Ketua-ketua Jabatan/Agensi berkaitan. 

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat tersebut menyarankan supaya tindakan yang mengambil kira faktor kesan perubahan iklim perlu dilaksana segera dalam perancangan pembangunan bagi mengelak peningkatan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa pada masa hadapan.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat turut menegaskan mengenai agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hingga RMK15 yang akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan dinamik menjelang 2040.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri adalah amat penting dalam memastikan agenda transformasi tersebut berjaya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – BERNAMA

- Advertisement -