ADUN Bukit Pasir dan PERKESO anjur program penerangan

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

MUAR: Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menganjur program penerangan kepada pemimpin masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mencarum dengan PERKESO.

Program di Kompleks Penghulu Mukim Jorak/Pagoh, Sabtu lalu, mendapat kerjasama Jabatan Amal Pagoh, PAS Ledang dan guru PASTI Ledang.

- Advertisement -

ADUN Bukit Pasir, Kapten (B) Najib Lep, berkata program itu mendedahkan kepada pemimpin masyarakat dan orang ramai mengenai manfaat mencarum dengan PERKESO.

Katanya, sebelum ini ramai penduduk kampung yang bekerja sendiri tidak sedar bahawa mereka boleh mencarum dengan PERKESO.

“Pada taklimat itu, pegawai PERKESO menerangkan mengenai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Sistem Insurans Pekerja (SIP) dan aplikasi Sahabat Prihatin serta manfaat yang pencarum terima.

“Apabila berlaku sesuatu kemalangan, pencarum akan menerima manfaat yang disediakan oleh PERKESO,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Najib berkata, pendedahan mengenai pelbagai skim dan manfaat yang pencarum terima perlu diperluaskan kepada masyarakat, terutama penduduk kampung kerana masih ramai tidak mengetahui kelebihan apabila mencarum.

Pada program itu, PERKESO turut menyampaikan sijil caruman kepada 10 anggota Jabatan Amal Ledang yang mencarum di bawah Skim Perlindungan PERKESO.

Turut hadir ialah Timbalan Pengurus PERKESO Cawangan Muar, Norfazillah Ishak dan pemimpin masyarakat tempatan. – HARAKAHDAILY 8/12/21

- Advertisement -