Harga barang: Tindakan segera perlu untuk bantu rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan memandang serius perkembangan kenaikan harga barangan dalam pelbagai sektor termasuk kepenggunaan.

Ketuanya, Fazilah Abu Samah berkata, setiap kenaikan itu sudah pasti memberi tekanan kepada rakyat.

Menurutnya, isu kenaikan mendadak harga barang perlu ditangani secara holistik dan mensinergikan kepakaran serta penguatkuasaan daripada agensi-agensi dan kementerian-kementerian lain untuk menangani isu ini secara kolektif.

Tambahnya, ia tidak lagi terhad kepada skop tugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semata-mata.

- Advertisement -

Beliau berkata, pengguna, peniaga, peruncit, pengedar, pemborong, pengeluar, pengimport dan pengeskport, setiap satunya adalah sebahagian daripada satu rangkaian yang sangat saling memerlukan.

Menurutnya lagi, rangkaian itu juga merupakan sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang sedang berusaha mengembalikan kehidupan selepas mengalami kesan teruk akibat pandemik Covid-19.

“Kita tidak menolak pelbagai faktor yang mungkin menjadi sebab kenaikan harga ini, memandangkan ia merupakan satu keadaan yang melanda seluruh dunia,” ujarnya dalam satu kenyaatan kepada Harakahdaily, hari ini.

Namun, tambahnya adalah diharapkan semoga kerajaan dapat merangka satu perencanaan yang dapat mengurangkan impak terhadap rakyat.

Beliau berkata, perbahasan Belanjawan 2020 yang dibawa oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Parlimen pada 15 Oktober 2019 pernah menekankan kepentingan jaminan makanan sebagai isu besar yang perlu diberikan perhatian.

“Beliau turut menegur tentang pengurangan peruntukan kepada para petani dan nelayan pada tahun 2020 berbanding peruntukan 2019,” ujarnya.

Beliau menambah, bagi Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan, sudah sampai masanya sektor pertanian dan jaminan makanan (food security) diberikan fokus yang serius oleh kerajaan.

“Nasib golongan tani perlu dibela dengan pendekatan holistik, teknologi pertanian serta industri hiliran dipertingkatkan dan sistem pemasaran yang efektif perlu dibangunkan,” katanya.

Pada peringkat masyarakat, ujarnya mungkin penggalakkan pembinaan kebun komuniti dapat membantu ahli masyarakat mengurangkan belanja dapur, selain boleh menjadi sumber ekonomi sampingan setempat jika dapat dipasarkan lebihan hasil.

Katanya, kesejahteraan seluruh ahli keluarga Malaysia adalah fokus utama yang perlu diambil berat oleh semua pihak, terutamanya oleh pihak berkuasa.

“Perhatian dan tindakan segera di seluruh negara sangat diperlukan bagi membantu rakyat untuk menyerap impak kenaikan harga,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/12/2021

- Advertisement -