Serahkan semua kepada Allah S.W.T

- Advertisement -

ALLAH S.W.T sentiasa membukakan kepada kita pintu untuk menuntut ilmu dan belajar terutama semenjak kemunculan COVID-19. Lebih banyak masa terluang untuk kita dapat manfaatkan. Manusia diciptakan dengan penuh kelemahan, dengan penuh keterbatasan, penuh kehinaan dan kemiskinan. Yang memiliki kekuatan tanpa batas, yang memiliki kemampuan tanpa batas hanyalah Allah S.W.T sahaja. 

- Advertisement -

Allah S.W.T yang menerbitkan matahari dari Timur, dan menenggelamkannya di Barat. Allah S.W.Tlah yang menciptakan virus-virus dan Dia jugalah yang menciptakan ubat-ubat atau penawar. Maka tidak ada jalan dan cara yang paling terbaik untuk keluar daripada kelemahan diri, kecuali dengan menyerahkan semuanya kepada yang Maha Kuat, kepada yang Maha Kaya, kepada yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Di zaman Nabi Musa A.S, ada seorang yang beriman, yang menyembunyikan keimanan dan keislamannya, yang dikenal dengan (mukmin ahli keluarganya) Firaun. Akhirnya dia bangkit kerana tidak mampu melihat pelbagai penentangan terhadap dakwah Nabi Musa A.S. Dia mengajak kaumnya untuk beriman dan menerima dakwah Nabi Musa A.S tetapi akhirnya kaumnya marah, dan mereka merancang untuk menimpakan sesuatu kepada orang yang beriman ini.

Di ketika melihat kondisi yang begitu mencengkam, di mana masyarakat yang merupakan kerabatnya sendiri, keluarganya sendiri, ternyata mereka sendiri hendak membunuh keluarganya sendiri. Siapa yang tidak kenal Firaun yang mempunyai bala tentera yang begitu ramainya, yang begitu berani dan kejam menindas dan membunuh bayi-bayi lelaki yang baru lahir.

Apa kata Allah S.W.T? Allah S.W.T ceritakan dalam surah Ghaffir ayat 44 dan 45:

فَسَتَذۡكُرُونَ مَآ أَقُولُ لَكُمۡۚ وَأُفَوِّضُ أَمۡرِيٓ إِلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَصِيرُۢ بِٱلۡعِبَادِ

“(Kiranya kamu tetap berdegil sekarang) maka kamu sudah tentu akan mengetahui kebenaran apa yang aku katakan kepada kamu; dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”.

(Ghafir: 44)

فَوَقَىٰهُ ٱللَّهُ سَيِّـَٔاتِ مَا مَكَرُواْۖ وَحَاقَ بِـَٔالِ فِرۡعَوۡنَ سُوٓءُ ٱلۡعَذَابِ

“(Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) maka ia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka; dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya,”

(Ghafir: 45)

Orang ini mengatakan bahawa aku serahkan semua urusanku kepada Allah S.W.T, aku sandarkan hidupku kepada-Nya, aku bertawakal kepada-Nya, kerana Allah S.W.T yang akan mencukupi orang-orang yang menyerahkan urusannya kepada Allah S.W.T dan inilah makna tawakal yang hakikatnya menyerahkan semuanya kepada Allah S.W.T.

Nabi Muhammad S.A.W, setiap malam tatkala Beliau meletakkan tubuhnya, di atas tempat tidurnya sebelum Beliau memejamkan mata, Beliau berdoa dan membaca doa sebelum tidur,

 “Ya Allah, aku serahkan diriku kepada-Mu, aku serahkan urusanku kepada-Mu dan aku hadapkan wajahku kepada-Mu dan aku sandarkan belakangku kepada (Kekuasaan) Mu dengan keinginanku dan ketakutanku kepada-Mu, tiada tempat pergantungan dan tiada tempat untuk menyelamatkan diri daripada-Mu kecuali kepada-Mu, aku beriman dengan kitab-Mu yang Engkau turunkan dan aku beriman dengan Nabi-Mu yang Engkau utuskan.”

(Bukhari dan Muslim)

Doa ini mengandungi unsur yang melepaskan kekuatan seorang hamba dan menyerahkan semuanya kepada Allah S.W.T. Melakukan itu dengan penuh harap dan cemas. Hanya kepada Allah, manusia berharap dan takut.

Kita tidak tahu apa yang akan terjadi di waktu tidur kita, mungkin banjir kilat, mungkin ribut yang meruntuhkan atap rumah kita, mungkin kebakaran, mungkin ada rompakkan dan bermacam-macam kemungkinan. 

Ketidaktahuan kita, seharusnya membuatkan kita menyerahkan semua urusan kita kepada Allah S.W.T yang Maha Tahu ketidak mampuan kita. Sepatutnya semua ini menjadikan kita termotivasi untuk menyerahkan semuanya kepada Allah S.W.T, Tuhan yang Maha Berkuasa. Nabi S.A.W sendiri menyerahkan semua urusannya kepada Allah S.W.T. Jadi penyerahan semuanya kepada Allah S.W.T, inilah roh (nyawa) kepada tawakal itu sendiri. 

Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, mendefinasikan makna dari tawakal itu ialah ‘menyerahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T’. Ini makam yang terkhusus dari makamnya orang-orang yang kenal Allah S.W.T. Makin engkau kenal Allah S.W.T semakin engkau menyerahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T.

Dan Ibnu Qayyum juga mengatakan, ‘Menyerahkan itu adalah rohnya tawakal, isinya hakikat kepada tawakal. Iaitu menyerahkan semua urusanmu kepada Allah S.W.T dan menyandarkannya kepada Allah S.W.T, dia melakukan itu disebabkan ikhtiar dia, sebagai usaha dia dan memang seharusnya dia berbuat begitu. Jadi seorang hamba ketika dia menyerahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T bukan kerana terpaksa dan sebagainya tetapi memang seharusnya kita sebagai hamba menyerahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T.’

Dan ini adalah sebagai bentuk ibadah dalam langkah kita berikhtiar. Dan Ibnu Qayyim menjelaskan bahawa dia memberikan perumpamaan seperti penyerahan seorang anak bayi yang lemah yang tidak mampu berbuat apa-apa yang boleh dijadikan perlindungan, kecuali kepada bapanya. Kenapa? Kerana dia tahu bapanya sayang kepadanya, bapanya peduli kepadanya, bapanya sentiasa ambil tahu ke atasnya, pengurusan bapanya ke atas dirinya lebih baik dari dirinya sendiri. Bapanya mengatur dan membantu apa-apa sahaja urusannya untuk keperluannya sendiri. Tiada orang lain yang lebih mampu, yang lebih baik untuk diserahkan urusannya selain bapanya. Sebab dia tahu siapa bapanya. 

Maka seperti itu jugalah orang yang bertawakal, di mana dia tidak dapat berlindung kecuali kepada Tuhannya.

Jadi menyerahkan segalanya kepada Allah S.W.T itu bukan kerana terpaksa tetapi memang pilihan kita. Kerana kita tahu dengan keterbatasan kita, semua usaha, semua ikhtiar dan semua sebab yang kita jalani, kita yang melakukannya sendiri tetapi urusannya kita serahkan semuanya kepada Allah S.W.T.

Contohnya, seperti orang keluar dari rumahnya, dia pastikan semuanya dalam keadaan baik, pintu rumahnya berkunci, kenderaannya dalam keadaan baik dan dia bergerak dengan lafaz Bismillah dan berdoa, “Dengan nama Allah aku bertawakal kepada-Nya dan tiada daya serta upaya kecuali dengan keizinan Allah S.W.T.”

(Abu Daud dan At-Tirmizi)

Dengan nama Allah kita serahkan semua urusan hidup kita kepada Allah S.W.T. Kenapa? ‘La hawla wala quwwata illa billah’ tiada daya dan kekuatan kecuali dengan bantuan Allah S.W.T dan dengan izin Allah sehingga setiap hari di waktu pagi dan petang, Nabi S.A.W mengajarkan kita membaca doa ini:

Maksudnya, “Wahai Tuhan yang tetap hidup, yang kekal memerintah selama-lamanya, dengan rahmat-Nya aku memohon pertolongan. Perelokkanlah bagiku segala urusanku semuanya dan janganlah Engkau biarkan nasibku ditentukan oleh diriku sendiri walaupun sekadar sekelip mata.”

(Al-Hakim mentashihnya dan disokong oleh Az-Zahabi)

Kita mesti menyerahkan semua urusan kita kepada Allah kerana Allah tahu. Usaha tanpa bantuan Allah S.W.T tidak akan menjadi. Nabi S.A.W ajarkan ini kepada kita, tawakal ini amalan hati. Semua ikhtiar dan usaha kita, seperti bekerja, jaga SOP dan yang lain-lain, ini ikhtiar kita tetapi tawakal kita di dalam hati. Jadi kena disynchronicekan atau diselaraskan antara usaha dan tawakal. Tawakal amalan hati dan usaha, amalan fizikal kita, kedua-duanya mesti seiring.

Menyerahkan semuanya kepada Allah S.W.T, merupakan buah dari keimanan. Orang beriman itu, syaratnya mesti serahkan semua urusannya kepada Allah S.W.T.

Allah berfirman dalam surah At-Taubah ayat 51:

قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوۡلَىٰنَاۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.”

(At-Tawbah: 51)

Ayat ini mengenai musibah. Musibah datang tanpa diundang. Kita tidak menginginkan terkena musibah dan begitu juga kita tidak menginginkan terkena COVID-19, begitu juga kepada frontliners yang terlibat secara langsung dengan urusan dan perawatan penyakit COVID-19. Semua orang tidak ingin terlibat dengan COVID-19. Sudah patuhi pemakaian SOP tetapi kalau masih juga terkena COVID-19 maka serahkanlah segala-galanya kepada Allah S.W.T.

Setiap mukmin ada keyakinan di dalam dirinya bahawa tidak menimpa sesuatu kepada kita kecuali sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T pelindung kita. Jadi di ketika musibah datang kepada kita, kita akan memahami bahawa semuanya ini Allah S.W.T yang telah menentukannya lalu kita akan bersabar menerimanya dan mencari hikmah di sebaliknya.

Cuba lihat dalam surah Al-Maidah ayat 23:

…وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ

“…dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman.”

(Al-Ma’idah: 23)

Tawakal itu bukanlah maksudnya, misalnya dia sudah divaksin 2 kali dan sudah ambil vaksin penggalak, booster, sudah pakai pelitup muka dan lain-lain arahan Kementerian Kesihatan, maka seseorang itu tidak akan dijangkiti wabak. Tetapi tawakal itu di sini bermaksud bahawa yang menyelamatkan dari penyakit ini adalah Allah S.W.T. Sebab itu para doktor dan Kementerian Kesihatan telah menyatakan, walaupun rakyat sudah divaksin bukan jaminan dia akan terhindar dari jangkitan COVID-19. Sebab itu Allah S.W.T telah jadikan syarat beriman itu, engkau mesti bertawakal kepada Allah seperti yang Allah nyatakan dalam firman-Nya surah al-Maidah ayat 23 di atas.

Dan dalam surah Yunus ayat 84 hingga 86:

وَقَالَ مُوسَىٰ يَٰقَوۡمِ إِن كُنتُمۡ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ فَعَلَيۡهِ تَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّسۡلِمِينَ

“Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): “Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.”

(Yunus: 84)

فَقَالُواْ عَلَى ٱللَّهِ تَوَكَّلۡنَا رَبَّنَا لَا تَجۡعَلۡنَا فِتۡنَةٗ لِّلۡقَوۡمِ ٱلظَّٰلِمِينَ

“Lalu mereka berkata: “Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.”

(Yunus: 85)

وَنَجِّنَا بِرَحۡمَتِكَ مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ

“Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir”.

(Yunus: 86)

Allah menceritakan mengenai Nabi Musa bersama kaumnya dan kezaliman Firaun kepada mereka. Bagi wanita mengandung, selamat sahaja melahirkan anak lelaki, anak itu akan disembelih. Sehingga kaumnya mengatakan, ‘wahai Musa sebelum kamu datang, kami sudah ditindas dan disakiti oleh Firaun dan selepas engkau datang pun, kami tetap begini juga, tidak berubah. Di Ketika inilah, Nabi Musa menanamkan keimanan ke dalam diri kaumnya. Bahawa segala sesuatu bukan berserah kepada Musa dan lain-lain tetapi kepada Allah S.W.T seperti dalam ayat di atas, serahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T.

Apa kata Nabi Musa kepada kaumnya dan Allah nyatakan di dalam al-Quran di atas. Kalau kalian benar-benar beriman serahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T. Sinonim dengan maksud Islam itu sendiri iaitu berserah kepada Allah S.W.T tanpa banyak mengeluh, mengadu, fikiran kacau dan lain-lain. 

Kalau kalian beriman serahkan segalanya kepada Allah S.W.T. Allah sangat sayang kepada hamba-hamba-Nya. Allah S.W.T lebih tahu mana yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.  Dan Allah lebih mampu untuk memberikan yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya kerana Allah S.W.T Maha Kaya. 

Ingat! Di ketika lisan mengatakan tawakal, hati mesti menyerahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T. Di samping berdoa, bekerja untuk mencari rezki, beraktiviti untuk menjaga kesihatan diri juga keluarga, makan makanan yang sihat tetapi hati mesti menyerahkan semuanya kepada Allah S.W.T.

Betapa banyaknya ayat-ayat di dalam al-Quran yang memerintahkan Nabi Muhammad S.A.W dan manusia untuk bertawakal. Kenapa? Kerana ramai manusia rasa kuat, rasa bijak, rasa mampu untuk melakukan sendiri segala-galanya.

Dan ada di kalangan manusia yang ketika berhadapan dengan ujian, musibah dan kesulitan dalam hidup, dia tidak mampu menghadapinya, lalu mengalah dan berputus asa, seolah-olah dia merasakan bebanan musibah ini lebih berat dari kemampuan yang dia ada dan dia lupa untuk menyerahkan semuanya kepada Allah S.W.T.

Dalam surah Hud ayat 123:

وَلِلَّهِ غَيۡبُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُ ٱلۡأَمۡرُ كُلُّهُۥ فَٱعۡبُدۡهُ وَتَوَكَّلۡ عَلَيۡهِۚ وَمَا رَبُّكَ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ

“Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”

(Hud: 123)

Semua yang ghaib baik di langit dan di bumi, segala-galanya milik Allah S.W.T. Dan semua apa-apa sahaja ketentuan, kita serahkan kepada Allah S.W.T dan moga ianya berakhir dengan kebaikan. Jadi apa tugas kita yang sebenarnya?. Allah mengingatkan semua yang ada di dunia ini dan di akhirat kelak mengikut apa sahaja kata Allah S.W.T. Kalau Allah S.W.T katakan tidak!, maka ianya tidak. Tiada ada sesuatu yang akan dapat merubah keputusan Allah S.W.T. Kalau Allah S.W.T kata ya!, maka tiada siapa yang dapat menolak akan terjadinya. Jadi sembahlah Dia. Jangan meminta-minta kepada selain daripada Allah S.W.T. Semua urusan di tangan-Nya. Dan bertawakallah kepada-Nya. Tawakal sangat berkait dengan ibadah.

Allahlah memiliki dan berkuasa ke atas setiap sesuatu dan kepada-Nya semua makhluk bertawakal. Semua dalam pengetahuan Allah S.W.T. Melata sekarang umat Islam ditindas dan dizalimi di sana sini. Semuanya Allah S.W.T tahu. Dalam semua ujian, bala’, musibah, Allah S.W.T mampu menarik semula semuanya itu kembali, seperti Allah S.W.T pernah tenggelamkan satu dunia dengan banjir besar di zaman Nabi Nuh A.S:

وَكَّلۡ عَلَى ٱلۡحَيِّ ٱلَّذِي لَا يَمُوتُ وَسَبِّحۡ بِحَمۡدِهِۦۚ وَكَفَىٰ بِهِۦ بِذُنُوبِ عِبَادِهِۦ خَبِيرًا

“Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya; dan cukuplah Ia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya;”

(al-Furqan: 58)

وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱلۡعَزِيزِ ٱلرَّحِ

“Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,”

(ash-Shu’ara: 217)

Maka bertawakallah kepada Tuhan yang maha Perkasa dan Penyayang dan menyebut Hasbunallah wani’mal wakil seperti kaumnya Nabi Musa. 

Kerana manusia itu ketika berbuat sesuatu, dia selalu mengharapkan sesuatu sebagai balasan, apa yang dia akan dapat?

Contohnya, doktor berkata kepada pesakitnya, engkau mesti divaksin. Pesakit akan bertanya semula, kenapa harus divaksin dan apa kebaikannya? Lalu para doktor akan menjelaskan bahawa, vaksin COVID-19 mampu melindungi tubuh seseorang dari infeksi virus Corona. Tidak hanya itu, jika kamu terinfeksi virus penyebab COVID-19, vaksin boleh membantu mencegah tubuhmu dari kesan sakit parah atau potensi terkena komplikasi serius. 

Setelah berusaha, bertawakallah sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Impaknya, apa yang kita dapat?

1. Dapat cinta dari Allah S.W.T. 

Kita cuma seorang hamba yang lemah, hina dan miskin. Rasa kehambaan ini akan menjadikan dirinya semakain rasa sangat memerlukan Allah S.W.T, balasannya, Allah S.W.T akan semakin cinta dan belas kasihan kepada hamba-Nya:

….فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ

“… maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

(Aal-E-Imran: 159)

Dan inilah makna realisasi ‘ubudiyah (penghambaan) yang sempurna kepada Allah Taala:

“…Dan hamba-Ku senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunnah sehingga Aku mencintainya. Dan jika Aku telah mencintainya, maka Aku akan menjadi pendengarannya yang dia pergunakan untuk mendengar, pandangannya yang dia pergunakan untuk memandang, tangannya yang dia pergunakan untuk menyerang, dan kakinya yang dia pergunakan untuk berjalan. Dan jika meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberinya, dan jika memohon perlindungan kepada-Ku pasti Aku akan melindunginya…” 

(Hadis Qudsi, Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

2. Allah S.W.T akan mencukupkan semua urusan hamba-Nya. 

Allah S.W.T akan anugerahkannya ketenangan, kedamaian, tak panik, kemudahan dan bermacam-macam lagi untuk keperluannya. 

Contoh, ketika Nabi Ibrahim dilemparkan ke dalam api, Nabi Ibrahim tak panik, cuma mengatakan hasbunallah wani’ma lwakil. Allah S.W.T sebaik-baik pelindung. Jadi kalau kita tawakal kepada Allah S.W.T, kita akan rasakan kedamaian, ketenangan kerana Allah akan mencukupkan kita. Seperti firman Allah dalam surah At-Talak ayat 3:

وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا

“Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

(At-Talaq : 3)

Allah telah memberi jaminan pertolongan kepada yang bertawakal. Apakah kita masih meraguinya? Seharusnya ia mesti benar-benar bertawakal dalam semua urusannya. Jika bertawakal, Allah S.W.T akan selesaikan.

3. Allah akan selamatkan dari syaitan.

Kita tahu syaitan itu musuh kita, dan syaitan sentiasa berusaha menguasai kita, mengatur kita, kerana ia ingin mempunyai kawan sebanyak-banyaknya di neraka sana.

Salah satu cara untuk menolak dan menjaga diri dari godaan iblis adalah dengan senantiasa berzikir dan meminta bantuan kepada Allah S.W.T:

نَّهُۥ لَيۡسَ لَهُۥ سُلۡطَٰنٌ عَلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ

“Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.”

(an-Nahl: 99)

Bila melihat orang sedang stres (kemurungan dari tekanan), resah, kesusahan, putus asa, ingin bunuh diri dan lain-lain, lalu di ketika dalam situasi begini, ada yang akan menyalahkan Allah S.W.T. Ada yang ketika ditimpa musibah lalu mempersoalkan, apa dosaku? Allah tak sayangkan aku? atau adakah Allah telah menzalimi diriku?. (Na’zubillah min zaalik).

Tetapi bagi orang yang bertawakal kepada Allah S.W.T, apa yang akan terjadi? Allah S.W.T akan menjagai dan melindunginya dari godaan dan tipu daya syaitan kerana hatinya bergantung kepada Allah S.W.T.

Dan Allah sebutkan dalam surah an-Nahlu ayat 99 di atas. Syaitan tidak akan dapat menguasai orang beriman yang bertawakal.

4. Mengusir dari jiwa dan diri kita, rasa keraguan, rasa was-was, perasaan persimis, percaya kepada angka, percaya kepada binatang-binatang tertentu yang membawa sial, angka-angka tertentu, hari-hari tertentu (seperti bulan Safar) dan banyak lagi kepercayaan khurafat yang ada dalam masyarakat. 

Bagaimana untuk membuang perasaan ini?

Tawakal dengan Allah S.W.T dan mengucapkan hasbunallah:

Sabda Rasulullah S.A.W: “Tiada penularan penyakit, tiada thiyarah, tiada nasib malang pada burung hantu dan tiada musibah pada bulan Safar.””

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menjadi kebiasaan orang jahiliah mempercayai sial burung yang menentukan nasib baik buruk apabila mereka mahu keluar sama ada untuk berniaga atau bermusafir:

“Rasulullah S.A.W menyebut: “Sesiapa yang menangguhkan hajatnya kerana mempercayai burung sesungguhnya dia melakukan perkara syirik.””

(Hadis Riwayat Ahmad)

Itulah kepercayaan yang menjadi prinsip akidah umat Islam melalui Rukun Iman keenam iaitu beriman kepada qada’ dan qadar:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.”

(at-Tawbah: 51)

“Rasulullah S.A.W memberi amaran: “Menyandarkan keburukan kepada sesuatu ialah syirik dan tidak termasuk ke dalam golongan kami melainkan mereka yang beriman sahaja. Sesungguhnya Allah menghilangkan syirik itu dengan tawakal.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

5. Tawakal ini merupakan benteng yang sangat kuat, dalam menghadapi kezaliman orang-orang yang zalim, dalam menghadapi kejahatan orang-orang yang jahat. Dalam menghadapi konspirasi orang-orang yang berniat jahat kepada kita dan umat Islam. 

Bagaimana kita menghadapinya? 

Serahkan kepada Allah S.W.T seperti firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 173 dan 174:

لَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدۡ جَمَعُواْ لَكُمۡ فَٱخۡشَوۡهُمۡ فَزَادَهُمۡ إِيمَٰنٗا وَقَالُواْ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَكِيلُ

“Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)””

(Aal-E-Imran: 173)

فَٱنقَلَبُواْ بِنِعۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَضۡلٖ لَّمۡ يَمۡسَسۡهُمۡ سُوٓءٞ وَٱتَّبَعُواْ رِضۡوَٰنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ ذُو فَضۡلٍ عَظِيمٍ

“Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.”

(Aal-E-Imran: 174)

Allah S.W.T menceritakan mengenai kisah orang-orang Musyrikin di waktu perang Uhud. Ketika umat Islam telah dikalahkan, mereka pulang kerana telah menang tetapi mereka datang semula untuk memusnahkan seluruh umat Islam. 

Dan Ketika perang Ahzab, orang-orang Musyirikin, dengan 10,000 kekuatan tentera gabungannya, mereka datang untuk menghancurkan umat Islam dan kota Madinah.

Apa yang terjadi kepada Nabi S.A.W dan para Sahabat? Allah ceritakan hal ini dalam ayat-ayat di atas.

Ketika umat Islam ditakut-takutkan dengan kekuatan musuh dan ancaman yang dahsyat, ternyata hal ini menambahkan keimanan para Sahabat. Dan mereka mengatakan, ‘Hasbunallah wani’mal wakil’. Malah musuh-musuh pula yang mendapat musibah dari perancangan mereka sendiri.

Cuba fahami kisah Ashabul Ukhdud ini. Kisah anak muda yang menyandarkan dan menyerahkan setiap sesuatunya hanya kepada Allah S.W.T:

“Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim berkenan dengan kisah Ashabul Ukhdud, dari Shuhaib R.A, “Ada seorang raja pada umat sebelum kalian. Dia punya tukang sihir. Ketika tukang sihir itu sudah mulai tua, ia berkata kepada raja, “Aku sudah tua, kirimkan kepadaku anak muda agar aku ajari sihir! Maka raja itu pun mengirimkan satu anak muda agar diajari sihir. 

“Di tengah jalan yang ditempuh anak muda ini, terdapat seorang rahib, maka anak muda itu pun duduk mendengarkan ucapan rahib dan merasa tertarik. Akhirnya tiap datang ke tukang sihir ia singgah kepada rahib untuk belajar darinya, sehingga jika datang ke tukang sihir ia dipukul, maka ia adukan hal itu kepada rahib. Rahib mengatakan, “Jika kamu takut kepada tukang sihir itu, katakan keluargaku menahanku. Dan jika kamu takut pada keluargamu maka katakan tukang sihir menahanku”.

“Pada suatu hari yang biasa ia lalui, ada seekor binatang besar yang menghalangi manusia, menutupi jalan. Maka ia berkata dalam hati, ”Hari ini aku tahu apakah tukang sihir yang lebih utama ataukah rahib, ia mengambil batu kemudian berkata, ”Ya Allah jika urusan rahib yang lebih Engkau cintai daripada tukang sihir, maka bunuhlah binatang besar ini, supaya manusia boleh melalui jalan itu”. Kemudian ia melempar batu tersebut ke arah binatang tersebut dan binatang itu mati, manusia pun boleh melalui jalan itu. 

“Kemudian ia datang kepada rahib dan menceritakan kisah tersebut, rahib berkata kepadanya, “Wahai anakku, sekarang kamu lebih baik daripadaku, urusanmu telah mencapai tingkatan seperti yang aku lihat, dan kamu pasti akan mendapat cubaan, jika kamu diuji maka jangan menunjukkan mengenaiku (jangan ceritakan aku).

“Anak muda ini boleh mengubati orang buta sejak lahir, penyakit kulit serta mengubati manusia dari berbagai penyakit. Orang dekat raja yang buta mendengar mengenai anak muda ini, maka ia mendatanginya dengan membawa banyak hadiah. Ia berkata, ”Semua ini aku kumpulkan untukmu jika kamu boleh menyembuhkan aku.” anak muda itu menjawab ‘Sesungguhnya aku tidak mampu menyembuhkan siapapun, tetapi Allah yang menyembuhkan, jika kamu beriman kepada Allah, maka aku akan berdoa agar Allah menyembuhkanmu.” 

“Orang dekat raja itu pun beriman, dan Allah menyembuhkan kebutaannya. Ia datang menghadap raja, duduk sebagaimana biasa, raja bertanya,”Siapa yang menyembuhkanmu?” ia menjawab, “Rabb ku”, raja bertanya, ”Apa kamu punya tuhan selain aku?” ia menjawab “Rabb ku dan Rabb mu”, maka ia menghukum dan menyeksa orang itu hingga ia menunjukkan perihal anak muda tersebut.

“Anak muda itu pun dibawa menghadap. Raja bertanya, ”Apakah sihirmu sudah boleh menyembuhkan orang yang buta sejak lahir, penyakit kulit dan lain-lain?” ia menjawab, “Aku tidak bisa menyembuhkan siapapun, yang menyembuhkan hanyalah Allah.” Maka anak muda ini dihukum dan diseksa hingga menunjukkan perihal rahib, dan akhirnya rahib itu didatangkan dan diperintahkan, “Kembaliah (keluarlah) dari agamamu sekarang!” Rahib itu menolak dan diletakkan sebuah gergaji, diletakkan tepat di atas kepalanya, kemudian dibelah hingga terbelah. Kemudian orang dekat raja didatangkan lagi dan dikatakan ”Tinggalkan agamamu!” Dia menolak, maka diletakkan gergaji di atas kepalanya dan dibelah.

“Lalu didatangkan lagi anak muda itu dan dikatakan kepadanya, ”Keluarlah dari agamamu!” dan ia menolak, maka raja itu memerintahkan pasukannya untuk membawanya ke puncak gunung, mereka menyeretnya ke puncak gunung,” Jika kalian sudah sampai di puncak gunung, sampaikan kepadanya untuk meninggalkan agamanya. Jika menolak ,maka lemparkan ia ke bawah!”

“Mereka membawa anak muda itu ke puncak gunung, sedang ia berdoa ”Ya Allah, cukupkanlah aku dari mereka dengan apapun yang Engkau kehendaki” Gunung bergoncang dan mereka berjatuhan, maka ia berjalan kembali pulang menuju istana raja. Raja bertanya, “Apa yang dilakukan rombongan padamu?” Ia menjawab, “Allah mencukupkan aku dari mereka”

“Raja kembali memerintahkan orang-orang untuk membawanya, “Bawalah ia ke dalam sebuah kapal kecil (sampan), seret hingga ke tengah laut!” Mereka membawa anak muda itu ke laut dalam sampan kecil, ia berdoa  “Ya Allah, cukupkanlah aku dari mereka dengan apa saja yang Engkau mahu” Tiba-tiba kapal mereka terbalik dan mereka tenggelam. Kembali ia berjalan menuju raja. Raja bertanya, ”Apa yang terjadi dengan rombonganmu?” Ia menjawab, ”Allah mencukupkan aku dari mereka” kemudian ia berkata, “Kamu tidak akan bisa membunuhku hingga aku perintahkan kamu” 

“Raja bertanya, ”Siapa itu?” Ia menjawab, ”Kumpulkan semua manusia dalam satu tempat lapang, salib aku di atas pohon kurma, kemudian ucapkan, ”Dengan nama Allah, Rabb anak muda ini” lalu lepaskan anak panah itu, jika kamu melakukan itu maka kamu akan bisa membunuhku.”

“Raja mengumpulkan rakyatnya dalam tempat lapang, dan anak muda tersebut telah disalib di atas pohon kurma, kemudian ia mengambil anak panah dari tempat anak panah pemuda itu, meletakkannya tepat di tengah busur, kemudian membaca, ”Dengan nama Allah, Rabb anak muda ini.” kemudian melepaskannya dan anak panah itu tepat mengenai pelipisnya. Anak muda itu meletakkan tangannya di pelipis pada anak panah yang menancap, lalu ia mati.

“Orang-orang yang hadir berteriak, ”Kami beriman kepada Rabb anak muda ini. Kami beriman kepada Rabb anak muda ini. Kami beriman kepada Rabb anak muda ini!”

“Raja diberitahu, ”Tahukah anda bahwa apa yang anda takutkan? Demi Allah apa yang anda khuatirkan telah terjadi. Manusia telah beriman kepada Allah.” Maka raja ini memerintahkan untuk menggali parit di mulut-mulut besi. 

“Maka dibuatlah, kemudian dinyalakan api. Lalu ia berkata, “Siapa yang tidak kembali dari agamanya (agama raja) maka bakar mereka! Perintah itupun dilaksanakan, hingga giliran Ibu muda dengan bayinya, wanita ini merasa ragu dan takut dilemparkan ke dalam parit yang menyala, maka bayinya berkata “Hai ibu, sabarlah, kerana engkau di atas kebenaran.”

“Dalam satu riwayat, “Dibawalah seorang wanita menyusui, dikatakan kepadanya, “Tinggalkan agamamu, jika tidak maka kami akan lempar kamu dan juga bayimu! Ibu itu merasa kasihan dengan bayinya dan berniat hendak kembali dari agamanya (agama raja), maka bayi itu berkata kepadanya, “Hai Ibu, tetaplah di atas kebenaran, sesungguhnya jika kembali kepada kekufuran, adalah aib dan kehinaan. Maka mereka melemparkannya juga bayinya ke dalam api.” 

(Hadis Riwayat Muslim)

Imam Ibnu Qayyim mengatakan, ‘Tawakkal itu di antara sebab terkuat dalam menghadapi gangguan dari orang-orang yang ingin menzaliminya. Segala-galanya diserahkan kepada Allah S.W.T.’

6. Orang yang menyerahkan segalanya kepada Allah S.W.T, Allah S.W.T akan berikan rezeki seperti Allah S.W.T memberikan rezeki kepada burung. Bagaimana burung, pagi keluar mencari rezeki, Ketika petang dia sudah kenyang. Rasulullah S.A.W mengibaratkan tawakal seperti perilaku burung:

وْ أَنَّكُمْ تَوَكَّلْتُمْ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ، تَغْدُوا خِمَاصاً وَتَرُوْحُ بِطَاناً

“Sungguh seandainya kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kalian akan diberi rezeki sebagaimana rezekinya burung-burung. Mereka berangkat pagi hari dalam keadaan lapar, dan pulang hari dalam keadaan kenyang.”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad, At-Tirmidzi, Al-Hakim, Ibnu Hibban, dan Al-Mubarak dari Umar bin Khathab)

7. Mereka yang menyerahkan segalanya kepada Allah S.W.T, akan masuk syurga tanpa hisab. Janji Allah itu benar.

Imam Bukhari di dalam kitab shahihnya telah meriwayatkan sebuah Hadis dari Ibnu Abbas R.A, dari Nabi S.A.W bahawa beliau bersabda yang bermaksud:

“…akan ada yang akan masuk syurga tanpa hisab sejumlah 70,000 orang. Kemudian Nabi S.A.W masuk tanpa menjelaskan hal itu kepada para Sahabat. Maka para Sahabat pun membicarakan mengenai 70,000 orang itu. Mereka berkata, ‘Kita orang-orang yang beriman kepada Allah dan mengikuti Rasul-Nya maka kitalah mereka itu atau anak-anak kita yang dilahirkan dalam Islam, sedangkan kita dilahirkan di masa jahiliyah.’ Maka sampailah hal itu kepada Nabi S.A.W, lalu beliau keluar dan berkata, ‘mereka adalah orang yang tidak minta diruqyah (dimanterai), tidak meramal nasib (Takhayul dan kurafat) dan tidak melakukan pengubatan dengan cara di-kai, dan hanya kepada Allahlah mereka bertawakal.” 

(Hadis Riwayat Bukhari 8270)

Kesimpulan

Tawakal yang sebenarnya mengikut Ibnu Rajab Rahimahullah dalam Jami’ul Ulum wal Hikam tatkala menjelaskan Hadis no. 49 mengatakan, ‘Tawakal adalah benarnya penyandaran hati pada Allah S.W.T untuk meraih berbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya baik dalam urusan dunia mahupun akhirat, menyerahkan semua urusan kepada-Nya serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa ‘tidak ada yang memberi, menghalangi, mendatangkan bahaya, dan mendatangkan manfaat kecuali Allah semata‘.’

Perhatikanlah firman Allah S.W.T (yang maksudnya): 

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” 

(at-Talaq: 2-3)

Nabi S.A.W pernah membaca ayat ini kepada Abu Dzar. Lalu Beliau S.A.W berkata kepadanya yang bermaksud:

“Seandainya semua manusia mengambil nasihat ini, sungguh hal ini akan mencukupi mereka.” Yaitu seandainya manusia benar-benar merealisasikan takwa dan tawakal, maka sungguh Allah akan mencukupi urusan dunia dan agama mereka.”

(Jami’ul Ulum wal Hikam, penjelasan Hadits no. 49)

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 8/12/2021

- Advertisement -