Skuad Musaadah Keluarga Malaysia digerakkan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

PUTRAJAYA: Sebanyak 11 buah kenderaan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) digerakkan untuk Skuad Musaadah Keluarga Malaysia di sekitar Lembah Klang, hari ini.

Menterinya, Senator Idris Ahmad berkata, skuad berkenaan akan mengenal pasti sasaran bantuan dan seterusnya menjejaki golongan asnaf bagi membantu mereka serta mengambil tindakan serta-merta secara kolektif.

- Advertisement -

“Skuad Keluarga Malaysia berperanan untuk menyantuni semua rakyat negara ini tanpa melihat kepada agama, keturunan dan bangsa terkesan akibat daripada pandemik Covid-19.

“Selaras dengan hasrat kerajaan, maka agensi kerajaan dipilih bagi menjayakannya, antaranya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan sempena pelancaran Skuad Musaadah Keluarga Malaysia di Dataran Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Kesemua 11 buah kenderaan pacuan empat roda tersebut mewakili 11 agensi utama di bawah kementerian berkenaan, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM), serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.

Selain itu, Yayasan Waqaf Malaysia, TV Al-Hijrah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIEM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) dan Lembaga Tabung Haji. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -