Program kebajikan produktif tingkatkan pendapatan rakyat

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Lebih banyak program kebajikan produktif akan dilaksanakan bagi mengurangkan pergantungan rakyat kepada bantuan kerajaan, terutama dalam bentuk tunai.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Eddin Syazlee Shith, berkata program berkenaan bertujuan supaya setiap isi rumah dapat meningkatkan keupayaan menambah pendapatan dan seterusnya taraf hidup secara mampan.

- Advertisement -

Katanya, agenda utama kerajaan ialah menjana dan mengekalkan pekerjaan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dan antara inisiatif ini, termasuk JaminKerja Keluarga Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion.

“Usaha ini bagi menyediakan 600,000 peluang pekerjaan, termasuk melaksanakan Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP) dan program latihan serta peningkatan kemahiran supaya pekerja dalam kalangan B40 mampu meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Melalui insentif penggajian JaminKerja, kerajaan memperuntukkan pelbagai bantuan seperti bayaran RM600 sebulan selama enam bulan kepada mereka yang bekerja dalam sektor gig,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Eddin Syazlee berkata, kerajaan juga menyediakan pelbagai skim pinjaman, pembiayaan perniagaan dan pembiayaan alternatif untuk memenuhi keperluan perniagaan, terutama perniagaan informal serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana kepada isi rumah yang terkesan teruk akibat Covid-19.

Sebagai contoh bagi menggalakkan penyertaan usahawan wanita, katanya kerajaan memperuntukkan RM6.25 juta bagi Program MyKasih Kapital yang merangkumi bantuan asas modal perniagaan, bimbingan serta latihan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian.

Katanya, Skim Pinjaman Informal dan Mikro dengan saiz dana berjumlah RM200 juta juga diperuntukkan dengan kadar faedah sifar peratus.

Bagi tindakan jangka masa pendek, katanya dalam Bajet 2022, Bantuan Keluarga Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM8.2 billion disediakan yang memberi manfaat kepada 9.6 juta penerima yang layak.

“Kerajaan juga akan meneruskan pelbagai pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian, jaminan makanan dan komoditi dengan peruntukan sebanyak RM1.7 billion,” katanya.

Sementara itu bagi tempoh jangka panjang, katanya dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli serta kesejahteraan, terutama isi rumah di bandar dan luar bandar. – HARAKAHDAILY 7/12/21

- Advertisement -