Projek infrastruktur FELDA di Setiu terima peruntukan RM10.5 juta

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM10.5 juta bagi pembinaan dan menaik taraf pelbagai kemudahan infrastruktur FELDA di Setiu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Eddin Syazlee Shith, berkata komponen terbesar ialah menaik taraf jalan, sistem peparitan dan saliran dengan kos sebanyak RM5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)

- Advertisement -

Katanya, projek ini akan dijalankan di kawasan yang jalan kampung tidak pernah diturap lebih lima tahun dan mengalami kerosakan kritikal serta kawasan yang terjejas akibat banjir.

“Projek ini dalam proses prapelaksanaan dan kerja fizikal dijadual bermula pada suku pertama tahun hadapan dan akan mengambil masa 12 bulan untuk disiapkan,” katanya menjawab soalan lisan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) di Dewan Rakyat, hari ini.

Shaharizukirnain bertanyakan soalan mengenai usaha kerajaan menyelesaikan isu kemudahan infrastruktur FELDA di Setiu seperti sistem perparitan yang telah lama dan juga tidak diselenggara.

Eddin Syazlee berkata, kerajaan juga telah menaik taraf jalan kampung sepanjang 12.8 kilometer dan pembinaan jambatan menghubungkan perkampungan Blok 12, 13 dan 14 ke Kampung Batu Hampar di FELDA Chalok Barat.

“Projek itu yang siap pada 30 September 2020 dilaksanakan di bawah RMK-11, membabitkan kos sebanyak RM2.3 juta,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut menaik taraf sistem perparitan, membina gabion dan muka jalan di FELDA Selasih dengan kos RM600,00 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE).

Katanya, projek menaik taraf sistem perparitan dan pembinaan gabion siap pada 30 September 2020, manakala projek menaik taraf muka jalan siap pada 3 Januari lalu.

Sementara itu, katanya tandas awam dan tapak riadah di FELDA Selasih juga dinaik taraf dengan kos sebanyak RM100,000, manakala dewan komuniti dan pusat transit baja dinaik taraf dengan kos bernilai RM500,000.

“Kedua-dua projek berkenaan merupakan Projek Kecil Berimpak Tinggi yang kerja fizikal dimulakan pada awal Oktober lalu dan dijadual siap bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM2 juta di bawah peruntukan khas Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk membina Masjid Chalok Barat berkapasiti 1,000 jemaah yang dijangka siap pada Oktober 2022.

Menurutnya, 50 peratus daripada kos pembinaan masjid ditanggung oleh Kerajaan Pusat dan baki oleh Kerajaan Terengganu. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -