Penyatuan ummah perlu libat banyak pihak

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Konsep penyatuan ummah yang membentuk Muafakat Nasional (MN) perlu penglibatan lebih luas termasuk parti-parti Melayu dan NGO.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, keanggotaan tidak wajar hanya melibatkan dua parti sahaja iaitu Umno dan PAS seperti sekarang.

Katanya ia perlu diperluaskan kepada parti-parti dan NGO yang mempunyai aspirasi perjuangan serupa bagi memartabatkan Islam, Melayu dan menjaga hak kaum lain.

- Advertisement -

“Bukan hanya antara PAS dan Umno sahaja, malah perlu dikembang kepada parti-parti lain serta NGO.

“Inilah semangat sebenarnya seperti terkandung dalam Piagam Muafakat Nasional yang mahu memperkukuhkan MN melalui amalan musyawarah dengan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

“Jadi ia perlu disambut semua parti dan NGO yang mempunyai cita-cita sama membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk,” katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu PAS terbuka membenarkan parti lain atau sebarang NGO menyertai MN seperti yang tertera dalam piagam Muafakat Nasional.

Bagaimanapun perkara itu dianggap gagal difahami pemimpin Umno yang hanya mahu menjalin muafakat antara Umno dan PAS sahaja.

Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan pada kenyataan mengingatkan MN tidak ditubuhkan dengan matlamat Bersatu mesti menjadi sebahagian daripadanya.

Malah sebelum ini Umno dan PAS bersetuju mempelawa Bersatu menyertai MN, namun selepas berlaku pertukaran Setiausaha Agung Umno perkara itu diketepikan.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, PAS tidak akan berhenti mengajak Umno dan Bersatu bersama dengan penyatuan tersebut. – HARAKAHDAILY 6/12/2021

- Advertisement -