Kala Sentral pasar produk usahawan tempatan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Pembukaan Kala Sentral memberi nafas baru kepada usahawan kecil dan sederhana di Kelantan selepas hampir dua tahun terkesan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Ab Aziz Yunus berkata, Kala Sentral yang bermula hari ini dibuka tujuh hari seminggu.

Katanya ia beroperasi bermula jam 9 pagi sehingga 7 malam dijangka memberi pulangan berkali ganda kepada usahawan tempatan.

- Advertisement -

“Sehingga kini seramai 200 usahawan mempamerkan 756 produk masing-masing daripada pembuatan kraftangan sehingga makanan tradisional masyarakat Cik Siti Wan Kembang.

“PKINK menyasarkan 1,000 usahawan yang bernaung di bawah agensi itu bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Kita menetapkan kriteria seperti kualiti, pembungkusan dan halal sebagai syarat utama untuk meletakkan produk mereka di Kala Sentral,” katanya selepas merasmikan Kala Sentral di Dataran Muhammadi di sini hari ini.

Menurutnya juga hasil sokongan dan bantuan PKINK dan agensi lain diharap dapat membantu usahawan di Kelantan meningkatkan lagi pengeluaran produk mereka sehingga melebihi 50 peratus.

Kala Sentral terletak di hadapan Masjid Muhammadi mempunyai ruang parkir kenderaan termasuk bas pelancong yang luas.

Kedudukannya juga tidak jauh dari Pasar Besar Siti Khatijah dan bersebelahan dengan Kampung Kraftangan yang menempatkan Restoran Nasi Ulam Cikgu.

Sementara itu pengusaha rempeyek, Ahmad Tarmizi Muhammad Ghazali, 46 bersyukur kerana diberi peluang turut serta bersama Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan Kelantan.

Menurutnya sepanjang PKP yang bermula Mac 2019, penghasilan produk ‘Kerbz Tempeyek’ terpaksa dihentikan sementara akibat penularan wabak Covid-19.

“Dengan pembukaan Kala Sentral diharap mampu memberi nafas baru kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kerana lokasinya menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2021

- Advertisement -