Projek nanas MD2 tarik pelaburan RM10 juta

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

SETIU:
Tahun Pertanian Terengganu 2021 telah mewujudkan impak yang besar terhadap sektor pertanian terutama terhadap program dan projek pertanian di negeri ini.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata di peringkat kerajaan negeri telah dibangunkan Pelan Strategik Pertanian 2019-2023 dengan pelbagai inisatifnya.

Antaranya, kata beliau fokus kepada penggunaan tanah terbiar secara maksimum untuk kecukupan bekalan makanan bagi meningkatkan ekonomi rakyat di Terengganu.

- Advertisement -

“Data daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu menunjukkan kita mempunyai 8,000 hektar tanah terbiar, yang berpotensi untuk dimajukan. Banyak negeri di Malaysia ini sudah tidak ada tanah-tanah kosong di negeri maju sebelah Pantai Barat.

“Di Terengganu ini masih banyak tanah terbiar untuk dimaju dan dimanfaatkan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Penanaman Nanas MD2 di Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu, Sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Kampung Pak Kancil, semalam.

Menurutnya, pada Jun 2021 lalu, kerajaan ini telah mengisytiharkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu, sekaligus menjadi pemangkin kepada ekonomi negeri Terengganu.

Ini kerana, kata Dr Samsuri, beberapa faktor kerana daerah Setiu ini mempunyai 1,214 hektar tanah terbiar yang tidak diusahakan dan berpotensi untuk diusahakan oleh rakyat tempatan dan menjadi daya tarikan syarikat luar dalam membuat pelaburan menerusi sektor pertanian di negeri Terengganu.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu khususnya penduduk Setiu rebutlah peluang keemasan ini. Kita juga amat berharap, lebih banyak pihak terlibat dengan penanaman nanas khususnya jenis MD2 yang masih kurang hasilnya tetapi mempunyai permintaan yang tinggi.

“Projek Penanaman Nanas MD2, keluasan tanah di sini (Setiu) 350 ekar dengan penanaman sedia ada 164 ekar. Projek ini usahasama antara syarikat Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), Pejabat Daerah Setiu dan pelabur dari Syarikat Ras Tanura Sdn. Bhd dengan nilai pelaburannya sebanyak RM10 juta.

“Melalui projek ini, satu usahawan tani akan dibangunkan melibatkan usahawan nanas dari kalangan penduduk daerah Setiu, yang berumur 18 hingga 50 tahun, yang tidak mempunyai pendapatan tetap dengan penawaran pendapatan sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 sebulan, insya-Allah,” jelasnya.

Menurut beliau, usahawan nanas yang mengusahakan tanaman itu bakal memperolehi manfaatnya iaitu pertama, sejumlah dua ekar tanah tanah untuk diusahakan, kedua jaminan hasil yang akan dibeli TADC dan Ras Tanura Sdn. Bhd, ketiga khidmat nasihat serta tunjuk ajar dan keempat, bantuan mudah untuk pinjaman.

Harakahdaily dimaklumkan, ladang nanas itu berkeluasan 344 hektar akan dibangunkan dengan tanaman nanas MD2 yang bakal menjadi ladang terbesar di negeri Terengganu.

Projek itu juga membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia dan B40 sekali gus mewujudkan ruang perniagaan melibatkan sektor pertanian dalam kalangan penduduk setempat.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Tengku Sri Bajiya Raja, Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Saharizulkirnain Abdul Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permint, Wan Adnan Wan Deraman, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif selaku Pengerusi Pengeluaran Gedung Negeri Terengganu dan Pengarah Urusan Ras Tanura Sdn. Bhd, Ir Khairi Hassan. – HARAKAHDAILY 6/12/2021

- Advertisement -