Pantau mutu kerja membaiki rumah PPR

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu memantau mutu kerja membaiki yang dilakukan di bangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata ini berikutan terdapat banyak kebocoran air berlaku di laluan awam setiap tingkat bangunan berkenaan.

- Advertisement -

Malah, katanya terdapat air menitik di ruang tamu sebahagian rumah penduduk serta kebocoran pada saluran najis yang berterusan berdasarkan kewujudan lumut pada dinding rumah.

“Tidak dinafikan, kerja membaiki telah dijalankan. Namun kerosakan di rumah PPR terbabit masih berlaku setelah kerja pembaikan dijalankan.

“Oleh itu, sejauh mana pemantauan KPKT terhadap mutu kerja membaiki yang dilakukan dan apakah usaha memastikan masalah ini tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi KPKT di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Shaharizukirnain meminta KPKT mengemukakan sambutan masyarakat terhadap program yang dibuat melalui Dasar Kebersihan Negara, iaitu Trash to Cash.

Beliau menyokong penuh usaha berkenaan untuk menggalakkan masyarakat mengumpul barang kitar semula dan dijualkan kepada SWCorp, sekali gus dapat mengurangkan pembuangan sampah.

Bagaimanapun, katanya amalan kitar semula masih kurang diamalkan oleh rakyat negara ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia perlu beralih kepada teknologi baharu dan berusaha mengurangkan sampah, selain rakyat perlu mempunyai pemikiran bahawa menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama.

“Saya ingin tahu sejauh mana sambutan masyarakat terhadap program ini dan sehingga kini, apakah langkah kerajaan bagi menggalakkan masyarakat untuk menyertainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2021

.

- Advertisement -