Perak Sustainable Greenprint 2030

- Advertisement -

HARI ini saya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perak Bumi Lestari siri ke-2 bagi tahun 2021. Jawatankuasa Induk ini ditubuhkan bertujuan untuk menyelaraskan inisiatif-inisiatif Lestari dan Hijau bersama pihak berkepentingan di peringkat Negeri Perak.

- Advertisement -

Antaranya adalah Perak Sustainable Greenprint 2030, sebuah kajian yang dilakukan secara bersama antara pihak MIGHT dan UPEN Perak.

Perak Sustainable Greenprint 2030 atau Perak Lestari dan Pelan Hijau 2030 merupakan kajian yang dijalankan selama 6 bulan bagi membangunkan dokumen strategik di peringkat negeri dalam menyokong sasaran nasional ke arah pengurangan Green Houses Gas (GHG). 

Dokumen ini akan menggariskan Strategi, Inisiatif dan Pelan Tindakan bagi 12 sektor utama di Negeri Perak ke arah yang lebih mampan, dan hijau sehingga 2030 merangkumi aspek ekonomi, persekitaran dan sosial.

Pihak MIGHT dan UPEN telah menjalankan sesi libat urus secara bersiri dengan pemegang taruh dalam mendapatkan input serta maklum balas dalam merangka strategi dan inisiatif bagi setiap sektor. 

Pelbagai kaedah kajian telah dijalankan melibatkan perbincangan berkumpulan atau Focus Group Discussion (FGD), bengkel atas talian dan sesi temu ramah. 

Saya difahamkan juga, pihak MIGHT akan menjalankan lawatan tapak di beberapa tempat terpilih dalam mengukuhkan input serta mendapatkan maklumat perkembangan terkini di peringkat pelaksanaan bersama penggiat industri. 

Dokumen strategik PSG2030 ini akan membantu Negeri Perak untuk mencapai sasaran lestari dan hijau serta menjadi negeri contoh bagi agenda pembangunan lestari dalam tempoh beberapa tahun akan datang. 

Ia juga sejajar dengan objektif asas ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’ RMK12 yang memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar. 

Seiring dengan hasrat negara untuk mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030. Langkah pro-aktif ini diharapkan dapat memacu Negeri Perak dan memberi manfaat kepada masyarakat. 

Kini, kajian PSG 2030 sedang berada di fasa akhir dan pihak MIGHT berhasrat untuk membentangkan perkembangan dan status terkini. Terima kasih kepada semua pihak yang memberi komitmen dan kerjasama dalam memberikan input yang bernas bagi Perak Sustainable Greenprint 2030.

YB MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak – HARAKAHDAILY6/12/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/374752124290199/posts/418237769941634

- Advertisement -