Dagangan karbon domestik bermula akhir 2022

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Perdagangan karbon di peringkat domestik akan dilaksanakan secara berfasa mulai akhir tahun hadapan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pada masa ini Kementerian Kewangan (MOF) bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Bursa Malaysia sedang dalam usaha mendapatkan pembelian masuk (buy-in) daripada kerajaan negeri serta menarik pelaburan dalam kalangan pembeli kredit karbon yang berpotensi.

- Advertisement -

“Kerajaan juga sedang meneliti kerangka rekaan pasaran, urusan pendaftaran dan bekerjasama dengan pihak yang membangunkan piawaian antarabangsa,” katanya menjawab soalan lisan Wong Chen (PH-Subang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Wong Chen ingin tahu mengenai tempoh permulaan dagangan karbon dan sama ada, KASA berhasrat menswastakan pengurusan dan operasi bursa itu.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan ketika ini tidak berhasrat menswastakan pengurusan dan operasi perdagangan karbon, sebaliknya sedang membangunkan platform tunggal perdagangan karbon peringkat domestik melalui kerjasama antara KASA, MOF dan Bursa Malaysia.

Katanya, platform pasaran karbon domestik dibangunkan secara berfasa dengan fasa awal akan membabitkan pelaksanaan pasaran karbon secara sukarela (VCM) sebelum peralihan kepada Skim Perdagangan Karbon Peringkat Domestik (DETS).

Sementara itu menjawab soalan tambahan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat), beliau memberi jaminan urus niaga membabitkan perdagangan pasaran karbon akan memenuhi kehendak syariah.

Che Abdullah meminta kerajaan menyatakan adakah pengurusan dan pengoperasian bursa dagangan karbon akan dilaksanakan mengikut syariah sepenuhnya seperti institusi kewangan lain

Tuan Ibrahim berkata, KASA telah mengadakan seminar berhubung kaedah urus niaga pasaran karbon mematuhi syariah.

Selain itu, katanya perbincangan dibuat dengan Universiti Oxford berhubung perkara ini, selain mengadakan beberapa siri libat urus berhubung pematuhan dagangan karbon terhadap kehendak syariah. – HARAKAHDAILY 1/12/21

- Advertisement -