JAKIM usaha tingkatkan kemahiran perunding cara

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) konsisten mengadakan latihan yang berterusan bagi meningkatkan kompetensi, kemahiran dan kecekapan perunding cara.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata latihan bermatlamat meningkatkan asas kaunseling agar perkara yang berbentuk teori dapat diterapkan secara praktikal sejajar dengan keperluan masyarakat.

- Advertisement -

Katanya, runding cara adalah antara perkhidmatan yang disediakan di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) kepada masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan, sama ada masalah kekeluargaan, bimbingan kerohanian, perundangan dan meningkatkan ketahanan emosi ketika menghadapi konflik.

“Kerajaan memahami keperluan terhadap perkhidmatan itu, apatah lagi dalam situasi negara menghadapi pandemik yang menyebabkan ramai yang terkesan dan memerlukan khidmat nasihat,” katanya menjawab soalan lisan Sabri Azit (PAS-Jerai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk meningkatkan bilangan perunding cara keluarga di Pejabat Agama Daerah kerana terdapat banyak kes kaunseling rumah tangga tidak mendapat khidmat nasihat yang baik berikutan perunding cara sedia ada tidak mencukupi.

Ahmad Marzuk berkata, JAKIM memberi perhatian terhadap perkara ini dan telah membentangkan cadangan untuk mendapatkan perunding cara berdaftar di JAIN negeri.

Dalam Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Ke 43 pada 14 Julai lalu, katanya mesyuarat bersetuju supaya perkara ini dikaji dan diambil tindakan sewajarnya.

Hasil Multaqa Runding Cara dan Kaunselor Syarie pada 2 November lalu, katanya kerajaan bersetuju bahawa usaha memantapkan perkhidmatan runding cara di JAIN dengan menyediakan perkhidmatan perunding cara profesional berlesen, terutama yang mempunyai latar belakang pengajian agama.

Katanya, ini akan memberi nilai tambah untuk meningkatkan imej organisasi dan seterusnya menyantuni Keluarga Malaysia dengan lebih berkesan. – HARAKAHDAILY 1/12/2021

- Advertisement -