Pembiayaan penyelidikan dan pembangunan MOSTI ditambah baik

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Empat kategori syarikat kini boleh memohon dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang telah ditambah baik oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Syarikat berkenaan ialah syarikat permulaan (Startup), Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS), Syarikat Multinasional (MNC) dan syarikat besar.

Advertisement

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Ahmad Amzad Hashim, berkata dana itu disalurkan melalui enam skim, iaitu, Applied Innovation Fund (AIF), Technology Development Fund 1 (TeD 1), Technology Development Fund 2 (TeD 2), Bridging Fund (BGF), Strategic Research Fund (SRF) dan MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF).

Katanya, Skim pembiayaan Dana R&D menyokong Rangka Kerja 10-10 MySTIE dan mempunyai kumpulan sasar tertentu yang bertujuan untuk menyokong perkembangan sains, teknologi dan inovasi di peringkat prapengkomersialan.

“Pendekatan terbaru ini memberi penekanan kepada projek berbentuk pembangunan eksperimental yang bersifat lebih praktikal dan spesifik serta boleh menjana pulangan ekonomi kepada negara dalam jangka masa pendek,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Azeez meminta kerajaan menyatakan insentif atau geran yang kerajaan sediakan bagi membantu syarikat dan usahawan, terutama golongan muda untuk menceburi bidang teknologi baru bagi memastikan industri IR 4.0 dapat dicapai meliputi semua industri. .

Ahmad Amzad berkata, kerajaan juga menyediakan insentif lain melalui peruntukan pembangunan (DE) kepada lima agensi pembiaya di bawah MOSTI.

Katanya, agensi berkenaan ialah Cradle Fund Sdn. Bhd (Cradle), Kumpulan Modal Perdana (KMP), Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP), Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).

“Tujuan peruntukan berkenaan adalah untuk pembiayaan projek baharu dan sambungan kepada syarikat yang berasaskan teknologi.

“Sepanjang pelaksanaan RMK-12 yang bermula tahun ini, sebanyak RM194.85 juta telah disalurkan kepada agensi pembiaya di bawah MOSTI,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan yang disalurkan itu adalah melalui bajet tahunan dan khusus untuk pelaksanaan program pembiayaan dan pelaburan kepada syarikat teknologi, termasuk syarikat yang diterajui oleh usahawan muda,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/12/21