PM lancar Jana’Preneur Januari tahun hadapan

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Jana’Preneur dijangka akan dilancarkan pada Januari tahun hadapan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata Jana’Preneur adalah portal milik bersama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

- Advertisement -

Katanya, Jana’Preneur adalah portal platform iklan dalam talian yang menghubungkan pembeli dan penjual untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh penjual.

“Portal ini akan membolehkan mereka mempromosikan perniagaan masing-masing dan seterusnya dapat menjana pendapatan,” katanya menjawab soalan Dato’ Wira Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang berkata, objektif utama Jana’Preneur adalah sebagai pusat setempat bagi platform perniagaan dalam talian kepada rakyat Malaysia, terutama kepada golongan B40 dan pekerja bebas yang baru menceburi bidang perniagaan.

Portal ini, katanya boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang berminat menjadi usahawan bagi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Menurut Awang, Jana’Preneur bukan sahaja portal untuk usahawan menjana pendapatan, malah membantu mereka meningkatkan kemahiran dan keupayaan untuk lebih berdaya saing dan kompetitif.

“Usahawan ini diberi peluang untuk menjalani latihan induksi dan inkubasi selaras dengan matlamat penubuhan Jana’Preneur untuk memberikan latihan susulan kepada usahawan yang benar-benar berminat mengembangkan perniagaan dan seterusnya berpeluang menjana hasil dengan lebih banyak.

“Latihan inkubasi bertujuan untuk mengawal, menyedia dan memantau tahap kemajuan peserta yang terlibat secara langsung menawarkan produk dan perkhidmatan dalam talian,” katanya.

Malah, katanya pendaftaran peserta untuk menyertai portal Jana’Preneur sebagai usahawan adalah percuma.

Mengulas lanjut, katanya antara kelebihan lain ialah usahawan boleh memohon bantuan pinjaman kewangan hasil kolaborasi bersama institusi kewangan seperti Credit Guarantee Corporation dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dengan kadar keuntungan yang rendah.

Katanya, bantuan kewangan ini boleh dijadikan modal pusingan, pembelian aset perniagaan dan pelbagai tujuan lain.

Berhubung hasil jualan melalui portal Jana’Preneur, beliau berkata penjual bertanggungjawab mengisytiharkan hasil jualan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri kerana perkara itu bukan di bawah kawal selia HRD Corp. – HARAKAHDAILY 23/11/2021.

- Advertisement -