KUALA LUMPUR: Kedah Aerotropolis akan dibangunkan sebagai satu bandar raya yang mempunyai banyak komponen di sekitar lapangan terbang dan dihasratkan menjadi pusat kargo ASEAN sepertimana Luxembourg selaku hab kargo penerbangan di Eropah.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu cita-cita itu semasa ditemubual sebagai tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 RTM secara langsung dari Angkasapuri, di sini pagi tadi.
Menurut beliau, sejak diilhamkan lebih 6 tahun lalu sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bersama beberapa projek berimpak tinggi yang lain, namun ia hanya direalisasikan semasa di bawah pentadbirannya.
Katanya, Kedah Aerotropolis dirancang sebagai katalis yang boleh menjadi ‘game changer’ kepada ekonomi dan menyumbang kepada pendapatan sekali gus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu.
“Akan jadi center cargo untuk distributed dari seluruh negara ASEAN. Itu kita punya bisnes modellah. 100 percentpembiayaan swasta. Kerana dulu model ini adalah pembiayaan Kerajaan Persekutuan, tapi saya faham ada kekangan kewangan akibat pandemik COVID-19 dan sebagainya.
“Jadi kita invite sektor swasta untuk melabur, dan kosnya juga agak tinggi, RM7 (bilion) ke RM8 bilion untuk pembinaan ini. Dan pihak konsultan telah menasihatkan kita untuk menceburi sektor-sektor yang tak ada.
“Kita tak sebutlah untuk buat terminal untuk penumpang, walaupun akan ada terminal itu, tetapi kita fokus kepada kargo dan MRO (pusat penyelenggaraan dan baik pulih pesawat). Di samping komponen-komponen lainlah. Ada rangkaian sejuk beku, ada akuatik.
“Sekarang ini barang-barang kena cepat, di seluruh dunia orang sudah hantar pakai kapal, kapal mungkin ambil masa seminggu. Tapi oleh kerana ekonomi telah berkembang begitu, barang orang nak cepat. Jadi kalau pakai pesawat, sejam dua jam boleh sampai.
“Jadi itu satu persaingan dalam ekonomi yang kita kena grab. Lalu saja grab, jangan duduk lepas. Jadi kita fokus kepada bidang-bidang macam itulah di Kedah Aerotropolis. Insya-Allah 2026 akan mulakan operasi,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi mengenai pelaburan yang diterima bagi membina litar Open Road Asia sepanjang 1.4 kilometer memberi peluang pemilik kereta mewah beraksi secara sah di Bukit Malut, Langkawi.
Begitu juga maklumnya, pembangunan baharu WIDAD Langkasuka yang merupakan pelaburan bernilai RM40 bilion oleh syarikat swasta WIDAD Group di mana akan mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun.
“Inipun akan menimbulkan limpahan ekonomi khusus kepada Langkawi dan juga sebagai tarikan baru ke Pulau Langkawi. Kalau orang pergi Langkawi setahun dua kali, dia akan pergi tengok benda yang sama. Jadi dua tiga tahun lagi dia akan ada benda-benda baru untuk dia nikmatilah di Langkawi.
“Jemputlah semua ke Langkawi. Kita sebelum ini perkenalkan gelembung pelancongan, ini sudah terbuka. Pergi oversea tak boleh, pergi je Langkawi. Semua ada di Langkawi. Langkawi itu Permata Kedah,” beritahunya. – HARAKAHDAILY 23/11/2021