AS keluarkan amaran ‘Jangan Melancong’ ke Jerman, Denmark

Orang ramai sedang mendaftar masuk untuk penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Logan di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat pada 22 Nov 2021 (FOTO REUTERS).

WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Jabatan Negara  Amerika Syarikat (AS) pada Isnin (22 Nov) menasihatkan rakyat negara itu agar tidak melakukan perjalanan ke Jerman dan Denmark susulan peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19 di kedua-dua negara Eropah tersebut.

CDC menaikkan tahap syor perjalanan ke kedua-dua negara itu kepada ‘Tahap Empat: Sangat Tinggi’, sambil menegaskan rakyat AS harus mengelakkan perjalanan ke sana, manakala Jabatan Negara mengeluarkan nasihat ‘Jangan Melancong’ ke kedua-dua negara berkenaan.

Advertisement

Pada ketika ini, CDS telah menyenaraikan kira-kira 75 destinasi di seluruh dunia di Tahap Empat, dengan banyak negara Eropah termasuk dalam senarai itu termasuk Austria, Britain, Belgium, Greece, Norway, Switzerland, Romania, Ireland dan Republik Czech.

Negara Tahap Empat di benua Asia dalam senarai tersebut termasuklah Singapura dan Malaysia.

Menurut laporan Reuters, purata bilangan kes jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan di Jerman setiap hari kini mencapai tahap tertinggi baharu dengan lebih daripada 49,400 kes setiap hari, manakala di Denmark, 460 jangkitan baharu bagi setiap 100,000 penduduk dilaporkan sejak tujuh hari lalu.

Bilangan kes jangkitan baharu Covid-19  di Jerman telah meningkat terutamanya dalam kalangan warga tua yang lengkap dua dos suntikan vaksin diambil pada awal tahun ini.

Pada awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan kenyataan bahawa negara-negara Eropah perlu berusaha lebih keras untuk mencegah Covid-19 daripada terus merebak apabila kes kematian dan jangkitan baharu menunjukkan peningkatan ketara.

Kadar penularan semasa Covid-19 di 53 negara Eropah sekarang ini menurut WHO adalah ‘membimbangkan’ dengan kes jangkitan baharu yang dicatat menghampiri paras rekod, dan senario bertambah serius dengan kemunculan varian Delta,  virus Covid-19  yang lebih mudah.

“Kita mesti mengubah taktik daripada bertindak balas terhadap lonjakan kes baharu Covid-19 kepada menghalangnya daripada berlaku sejak dari mula lagi,” tegas jurucakap WHO, Hans Kluge. 

Sehubungan itu, Jerman telah memutuskan untuk mengehadkan bilangan orang ramai daripada berkumpul di tempat-tempat awam terutama di kawasan hospital yang dipenuhi pesakit Covid-19.

Austria yang merupakan jiran Jerman pula, pada Isnin (22 Nov) telah mengeluarkan perintah berkurung sepenuhnya kepada penduduk negara itu selepas mengumumkan beberapa sekatan pada minggu lalu. – HARAKAHDAILY 23/11/2021