Perkasakan Bahasa Melayu sebagai medium perpaduan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memupuk semangat cintakan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu sebagai medium untuk mewujudkan dan mengukuhkan perpaduan di negara ini.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata memupuk semangat jati diri dalam masyarakat majmuk berlainan agama dan kepercayaan sememangnya rumit.

- Advertisement -

Namun, katanya semangat itu dapat dijelaskan dengan memupuk semangat cintakan bahasa kebangsaan.

“Sebagai contoh, masyarakat Jepun yang telah berjaya membuktikan mereka maju kerana minda mereka bebas dari dipengaruhi oleh bahasa asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Belanjawan 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara, di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Shaharizukirnain kesal kerana penggunaan Bahasa Melayu yang melambangkan jati diri masyarakat Malaysia masih di tahap membimbangkan.

Perkara itu katanya, dapat dibuktikan melalui pertuturan seharian rakyat yang mencampurkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Justeru itu, beliau meminta Kementerian Perpaduan Negara menyatakan agenda kementerian itu untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum melalui bahasa kebangsaan.

Sementara itu, beliau meminta Kementerian Perpaduan Negara menjelaskan perbezaan Dasar Perpaduan Keluarga Malaysia yang akan dibentangkan akhir bulan ini serta Dasar Perpaduan Negara dan Pelan Tindakan Perpaduan Negara yang dilancarkan sebelum ini.

Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan sejauh mana keberkesanan pelaksanaan dasar serta pelan itu dan tahap penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar yang telah dijalankan.

Beliau memohon penjelasan berkenaan berikutan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mengatakan bahawa perpaduan rakyat Malaysia masih lagi lemah dalam melawan Covid-19.

“Oleh itu, apakah usaha pihak kementerian dalam memastikan semangat perpaduan rakyat Malaysia diperkukuhkan lagi?” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2021

- Advertisement -