Kekang bahaya wabak liberalisme dan pelampau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam telah lama diancam wabak tersembunyi yang membelenggu pemulihan serta kemajuan untuk berada di kedudukan sewajarnya iaitulah kecelaruan akal fikiran atau cara berfikir mengenai agama.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, tanpa penguasaan ilmu fardu ain, umat Islam pasti akan menghadapi kesukaran apabila berhadapan dengan simpan siur ini.

Tegas beliau, penguasaan ilmu fardu ain yang mendalam dan dinamik penting untuk mengimbangi lambakan maklumat pada hari ini di mana aliran maklumat membanjiri peranti setiap orang pada setiap masa. 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan webinar membincangkan tajuk ‘Liberalisme dan Penyempitan Agama’ yang dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada pagi tadi.

“Sekiranya ilmu fardu ain tidak dikuasai secara mendalam oleh kalangan golongan terpelajar, kita sudah tentu akan mudah terperangkap dengan dua arus pemikiran yang melanda masyarakat Muslim hari ini. 

“Iaitu cara berfikir tentang agama yang longgar yakni terpengaruh dengan andaian-andaian pemikiran Sekular Barat dan cara berfikir tentang agama yang melampau dan akhirnya boleh mengakibatkan tindakan-tindakan membinasakan diri, keluarga, bangsa, agama dan negara.

“Pada hakikatnya, kedua-dua ini melambangkan dua spektrum atau kecenderungan yang melampau dan tersasar dari prinsip wasat yang dianjurkan oleh Islam yakni prinsip pertengahan.

“Pada satu sisi terdapat segolongan Muslim yang dipengaruhi oleh cara hidup berfikir atau aliran pemikiran sekular, liberalisme yang mengandaikan bahawa ajaran Islam perlu disesuaikan dengan arus pemikiran yang dianggap lebih berdaya maju yakni mengikut acuan Barat moden,” ujarnya.

Beliau turut mengemukakan kajian dibuat sekumpulan penyelidik tahun 2020, di mana antara dapatan amat membimbangkan terutama berkaitan kecenderungan kalangan sebilangan Muslim bandar terutama generasi muda.

Menurutnya, kajian itu menyatakan golongan tersebut mahu membebaskan diri dari agama dan juga keluar dari agama disebabkan pengaruh ideologi liberalisme, sekularisma dan pluralisma.

Tambah beliau, faktor lain membawa kepada kecenderungan bebas beragama ialah fahaman agama individu yang rendah, amalan keagamaan rendah serta penglibatan dalam program dijalankan oleh agama lain. 

Oleh itu katanya, perkara ini seharusnya diberikan perhatian utama oleh semua pihak untuk menghadapi arus pemikiran sekular dan liberalisme dalam masa jangka panjang umat Islam khususnya oleh para sarjana dan asatizah.

Serunya, mereka perlu mengkaji kerangka serta hujah yang bersangkut paut dengan falsafah liberalisme diperjuangkan oleh tokoh-tokoh liberal Barat seperti John Lope, dan John Rous dan lain-lain.

“Serta kerangka-kerangka berfikir dan hujah-hujah yang dianjurkan oleh individu yang mewakili aliran pemikiran Islam Liberal ini. Ini untuk kita lebih memahami di manakah kesilapan aliran pemikiran liberal Barat di samping mengelak daripada terjebak dalam kesilapan berfikir. 

“Tambahan lagi, ada aliran pemikiran dalam kalangan umat Islam hari ini yang lebih mirip dengan cara fikir falsafah liberalisme iaitu aliran pembaharu atau modenis yang hampir sinonim dengan aliran pemikiran yang digelar Islam Liberal ataupun Islam progresif.

“Walaupun aliran ini kelihatan seperti lebih dinamik dalam berwacana, berbanding dengan aliran konservatif. Hujah-hujah, kaedah serta penyelesaian yang ditawarkan aliran ini sering mengundang kekeliruan berkenaan persoalan-persoalan asasi agama,” ujarnya.

Ustaz Idris turut mengupas mengenai sudut kecenderungan atau spektrum lain yang terdapat sifat melampau dari prinsip wasat dalam kalangan mereka berpendidikan agama iaitu dengan menyempitkan agama.

Mereka itu menurutnya, berminat kepada perkara-perkara furuk, tafsiran secara harfiah yakni secara literal ataupun tafsiran yang mengabaikan autoriti ulamak silam atau ulamak muktabar terdahulu.

Bahkan mereka itu kemukanya, memiliki kecenderungan yang menyempitkan agama, selain telah menyebabkan pelbagai bentuk kefasadan dan kezaliman terhadap kehidupan manusia masyarakat dan alam sekitar.

“Sebagai contoh apabila kelompok DAESH yang menyempitkan agama dengan bergantung kepada tafsiran-tafsiran harfiah serta mengabaikan autoriti ulamak yang muktabar lagi berwibawa.

“Tindakan mereka telah menyebabkan pelbagai bentuk kezaliman seperti yang kita sedia maklum,” kesalinya. – HARAKAHDAILY 23/11/2021

- Advertisement -