Keputusan PRN Melaka medan muhasabah

- Advertisement -

TAHNIAH kepada BN. Hakikatnya Melaka masih kubu kuat Umno. Walaupun berbagai peristiwa berlaku, namun pengundi Melaka masih percaya kepada Umno sebagai parti lama walaupun kelahiran baru selepas diharamkan tahun 1988.

PH adalah parti yang sudah hilang kepercayaan rakyat. Sebagai parti yang pernah memerintah 22 bulan dengan janji palsu, pengundi Melaka memberi isyarat jelas kemarahan mereka kecuali sebahagian pengundi Cina. PH sudah boleh memikirkan gabungan mereka terutama PKR yang kecundang dalam semua sebelas kerusi ditandingi.

- Advertisement -

PN yang kali pertama muncul dari gabungan utama PAS dan BERSATU juga hakikatnya kecundang. Dari semua kerusi ditandingi, hanya dua kerusi yang ‘lekat’. Apapun kemenangan di Sungai Udang satu isyarat positif dari penjawat awam terutama tentera yang mengundi awal di kem. Mereka sudah berani memberi undi kepada selain BN mungkin kerana ia sebahagian dari kerajaan memerintah.

PN mesti menilai dan bermuhasabah secara telus dan terbuka terhadap hasil PRN ini jika ingin menang dalam PRU15. Hentikan retorik dan ‘penjilatan’ dengan kata-kata manis. Bukan masanya mencari dalih menyedapkan hati untuk terus bermimpi. Cari kelemahan untuk dibaiki bukan mencari kelemahan untuk dihiasi.

PAS khasnya mesti mengembalikan jati diri Islam Memimpin. Dengan kekuatan ahli yang ikhlas dan taat, PAS mampu membuat kejutan. Slogan Islam Memimpin mesti diterjemahkan dalam PN. Ia bukan slogan yang hakikatnya dipimpin. PAS bukan pelaksana tetapi penentu dasar dan halatuju.  PAS bukan tempat ‘menghempas cop’ setelah keputusan luar dibuat.

Ahli PAS sentiasa siap siaga menurut arahan pimpinan, namun jangan kecewakan mereka dengan keputusan yang tidak membawa aspirasi muktamar serta kekeliruan yang memerlukan kita membuka kitab sedangkan berada di medan perang. Kitab wajar dibuka dan dihadam sebelum kita melangkah di medan perang. Jangan jadikan waktu kritikal untuk segalanya mudah bagi kita.

Saya yakin tiada ahli yang berulang alik usrah dan liqa yang mengingkari keputusan undi PN baru-baru ini. Kalau adapun hanya mereka yang menjadi ahli tetapi menumpang kuah dalam organisasi kampung di bawah Umno.

PN punyai potensi. Ia diakui musuh seperti Saifudin Nasution yang tentunya pujian ‘ada makna’. Ia boleh diperkemaskan menghadapi PRU15. Muhasabah mestilah meliputi peranan kepimpinan yang diamanahkan. Dalam perang pilihan raya, jentera utama mesti digerakkan. Di mana dan apa peranan yang telah dimainkan oleh jeneral perang PAS? Perang kita di medan pilihan raya bukan di padang bola.

PRN Melaka ini adalah medan ujian. Umno ingin menguji kekuatan mereka di lubuk yang merupakan kubu sendiri. Bagaimana di tempat yang bukan lubuk mereka khasnya di Selangor? Itu belum dicampur pengundi 18 tahun yang baru kali pertama mengundi. Mereka yang tidak merasai jasa Umno seperti generasi biasiswa. Mereka adalah generasi hutang PTPTN.

PN juga belum boleh senang duduk dengan undi muda ini. Mungkin pengundi muda dapat rasai sedikit keselesaan di era kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, namun itu belum meyakinkan.

Muhasabah adalah tindakan terbaik. Muhasabah bukan untuk mencari kehebatan kita miliki untuk dibangga dan puji. Muhasabah untuk mengenalpasti kelemahan diri. Buka dada dan telinga seluasnya agar kesombongan tidak menguasai diri. Biarlah pimpinan duduk di kandang salah seketika bagi mendengar luahan ikhlas ahli di bawah yang bermandi peluh dan berjaga malam berjuang di medan. Anda akan lebih disayangi jika mendengar keluhan ini dari terus memakai kapas di telinga dengan mikrofon di mulut.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 22/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000122032873/posts/7232766176737378/

- Advertisement -