Muslimat Kedah ikuti muktamar di Markas PAS Pokok Sena

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

POKOK SENA: Semua perwakilan Dewan Muslimat PAS kawasan di seluruh Kedah, berkumpul di Markas PAS Pokok Sena bagi mengikuti Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Malaysia kali ke-61 yang berlangsung secara hibrid, hari ini.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, Dato’ Siti Ashah Ghazali berkata, langkah itu untuk memudahkan perwakilan melakukan pengundian untuk memilih saf kepimpinan dewan terbabit sesi 2021-2023.

- Advertisement -

“Dewan Muslimat PAS Kedah mengambil keputusan mengumpul semua perwakilan seluruh Dewan Muslimat PAS kawasan untuk memudahkan pengundian (e-voating) yang diadakan setempat,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di sini, hari ini.

Kata beliau, langkah ini juga untuk memastikan kawasan yang sukar mendapat liputan internet dapat mengikuti muktamar dengan lancar.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia mengambil pendekatan tersebut, di mana semua perwakilan Kedah berhimpun di markas terbabit hari ini dan esok.

“Selain itu, dengan cara begini, suasana muktamar dapat dirasai berbanding mengikuti secara sendirian di rumah masing-masing,” ujarnya.

Sementara perwakilan Dewan Muslimat PAS Sik, Hannan Abd Ghani, berkata langkah menghimpun perwakilan muslimah Kedah di satu tempat lebih sesuai untuk mengikuti muktamar beramai-ramai.

“Kami di kawasan Sik, talian internet kurang memuaskan. Jadi apabila berkumpul setempat akan memudahkan perwakilan Sik mengikuti sidang muktamar,” katanya.

Dr Rahimah Sahit

Perwakilan Dewan Muslimat PAS Pendang, Dr Rahimah Sahit juga berkata, menghimpunkan perwakilan di satu tempat boleh memberi fokus kepada perjalanan muktamar.

Katanya kalau mengikuti muktamar di rumah, banyak gangguan dan tidak boleh fokus sepenuhnya.

“Tentulah rugi, apatah lagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Perwakilan serta petugas yang hadir diwajibkan melakukan ujian pengesanan Covid-19 secara kendiri, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. – HARAKAHDAILY 30/10/21

- Advertisement -