Dewan Muslimat lancar TV Wanita Sejahtera

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) melancarkan TV Wanita Sejahtera yang dikendalikan Lajnah Penerangan dan Media Baharu.

Menurut ketuanya, Senator Nuridah Mohd Salleh, TV Wanita Sejahtera beroperasi di laman Facebook dan Youtube sejak Disember 2020.

- Advertisement -

“Televisyen internet tersebut berperanan menerapkan pendidikan politik Islam, tarbiah dan dakwah khususnya untuk wanita Malaysia serta menjadi platform suara Muslimat PAS,” katanya pada kenyataan media sempena muktamar DMPM hari ini.

Muktamar tersebut dihadiri seramai 758 perwakilan dari 182 kawasan yang diadakan secara hibrid dan boleh diikuti di kawasan masing-masing.

Nuridah berkata, muktamar diadakan secara atas talian bertepatan dengan saranan kerajaan supaya semua pihak membantu mengekang wabak Covid-19.

“Semua perwakilan yang hadir dipastikan lengkap dos vaksin Covid-19 dan digalakkan menjalani ujian kendiri Covid-19,” katanya.

Ucaptama Ketua Muslimat pada muktamar tersebut bertema ‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’ seiring dengan agenda utama untuk mensejahterakan kehidupan wanita berpandukan ajaran Islam.

Tema itu menggambarkan hanya dengan cara Islam sahaja mampu untuk memimpin dan memandu rakyat ke arah kesejahteraan.

Sementara itu pada muktamar terbabit Dewan Muslimat PAS Malaysia memberi anugerah Tokoh Istiqamah kepada bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu (1973-1989), Hajah Fatimah Ismail.

Fatimah banyak menyumbang kepada Dewan Muslimat PAS dan masyarakat. Pernah memegang beberapa jawatan penting dalam dewan terbabit.

Beliau juga antara tokoh muslimat terawal dalam perjuangan muslimat di Terengganu dan merupakan isteri bekas Menteri Besar Terengganu, Ustaz Daud Abdul Samad.

Pada muktamar tersebut sebanyak 15 usul diterima daripada Dewan Muslimat PAS negeri dan kawasan, bagaimanapun hanya 3 usul diterima untuk dibahas, 5 usul diterima tanpa bahas.

Usul-usul yang diterima untuk dibahas dari Kelantan, Terengganu dan kawasan Tambun. – HARAKAHDAILY 30/10/21

- Advertisement -