Ratu Elizabeth tidak sertai COP26

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

LONDON: Ratu Elizabeth II tidak akan menyertai Persidangan Perundingan Iklim  ke-26 (COP26) yang dijadualkan berlangsung di Glasgow, Scotland pada 31 Oktober hingga 12 November 2021 atas sebab kesihatan, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Buckingham, hari ini.

“Baginda Ratu disahkan bermalam di hospital untuk ujian kesihatan pada minggu lepas dan anak sulung baginda, Putera Charles akan mewakili baginda ke COP26,” ujar wakil Istana Buckingham, lapor Mail Online.

- Advertisement -

Persidangan yang sepatutnya berlangsung pada November 2020 tetapi ditunda akibat pandemik Covid-19 itu kali terakhir diadakan pada 2019, adalah bermatlamat untuk membincangkan mengenai krisis iklim global, khususnya impak pemanasan kesan rumah hijau terhadap masa depan bumi.

Menurut laporan The Scotsman pula, persidangan yang bakal menjadi tumpuan seluruh dunia itu dijangka dihadiri antara 20,000 hingga 25,000 delegasi dari 120 buah negara termasuk pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli politik ternama dunia.

Antara pemimpin ternama dunia yang telah disahkan bakal hadir ke COP26 ialah Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden; Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; dan Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Australia, Scott Morrison; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau; Perdana Menteri Itali, Mario Draghi; Presiden Colombia, Ivan Duque; Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven; Presiden Switzerland, Guy Parmelin; dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in.

Sementara itu Kremlin Moscow mengesahkan Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak akan menghadirkan diri ke COP26. 

“Tambahan daripada itu, Perdana Menteri Boris Johnson telah diberi maklumat bahawa Perdana Menteri China, Xi Jinping juga tidak akan hadir ke COP26,” lapor The Scotsman lagi.

Sementara Malaysia, sebagaimana kenyataan yang diumumkan Menteri Alam Sekitar Dan Air, Dato’ Seri Ibrahim Tuan Man baru-baru ini, turut menghantar delegasi ke COP26 yang akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA), Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Terdahulu, Ratu Elizabeth pada 15 Oktober lalu telah menarik perhatian umum menerusi komen lantang baginda yang menyelar pemimpin-pemimpin dunia sebagai ‘hanya banyak cakap tetapi gagal bertindak’ dalam menangani isu perubahan drastik iklim global yang kini mengancam masa depan keselamatan hidupan di bumi.

Titah baginda itu jelas ditujukan kepada individu-individu yang mengesahkan tidak dapat menghadiri sidang kemuncak COP26 berkenaan.

Komen Ratu berusia 95 tahun itu dibuat menerusi mikrofon ketika merasmikan pembukaan Parlimen Wales di Cardiff, semasa bercakap dengan ahli politik Wales, Elin Jones. – HARAKAHDAILY 27/10/2021

- Advertisement -