AUKUS: PM suarakan kebimbangan pada Sidang EAS

Foto daripada Facebook Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali mengulangi pendiriannya yang bimbang terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat atau AUKUS pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) pada Rabu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada sidang itu mengulangi pendirian bahawa perkembangan berkenaan boleh mendorong ke arah perlumbaan senjata dan mencetuskan ketegangan, mengakibatkan ketidakstabilan di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

Advertisement

Sehubungan itu katanya, Malaysia menegaskan kepentingan mengekalkan rantau Asia Tenggara sebagai zon bebas nuklear sejajar dengan Deklarasi  Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

“Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal utuh. Isu berkaitan Laut China Selatan perlu diuruskan secara aman dan menerusi dialog serta rundingan, menggunakan forum bersesuaian dan saluran diplomatik,” katanya.

Bagi memastikan ia kekal sebagai laut yang aman dan stabil, Ismail Sabri menekankan, semua pihak perlu membendung diri dan mengelak daripada mengambil tindakan yang mungkin dianggap sebagai provokasi, yang merumitkan lagi keadaan serta meningkatkan ketegangan di kawasan ini.

Sebagai sebuah negara yang turut menuntut hak, beliau berkata, Malaysia secara tegas berpendirian bahawa perkara berkaitan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman dan konstruktif, sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diterima sejagat, termasuk Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Malaysia kekal komited untuk menggerakkan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan, yang disambung semula baru-baru ini menerusi persidangan secara maya.

“Kita terus berharap mendapat konklusi CoC awal yang efektif dan substantif,” katanya.

Tiga hari selepas AUKUS diumumkan pada 15 September 2021, Malaysia menjadi antara negara paling awal di rantau ini menyuarakan kebimbangan terhadap perjanjian tiga hala itu kerana menganggap ia boleh mencetuskan perlumbaan senjata nuklear.

Ismail Sabri turut menyentuh mengenai isu keselamatan siber dengan menyatakan Malaysia mengalu-alukan sokongan negara peserta EAS ke arah Rangkaian Pusat Pertahanan Siber ASEAN.

Beliau berkata, rangkaian itu yang ditubuhkan menerusi Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN dengan Malaysia sebagai penyokong usul, akan menjadi platform bagi pakar siber berkongsi pengetahuan dan amalan baik dalam memupuk keyakinan dan kesiapsiagaan keselamatan siber.

Mengenai perubahan iklim, Ismail Sabri berkata, Malaysia akan terus memenuhi komitmen alam sekitarnya bagi mengurangkan intensiti karbon ekonomi berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar sehingga 45 peratus menjelang 2030.

“Malaysia berhasrat mencapai sasaran itu berdasarkan kemampuan sendiri. Malaysia turut komited menjadi negara sifar pencemaran rumah hijau secepat-cepatnya menjelang 2050 dan ini adalah pendirian kami pada COP-26 (Persidangan Perubahan Iklim PBB ke-26),” ujar beliau.

Sidang EAS dihadiri 10 negara anggota ASEAN dan disertai Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat serta Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta Pertubuhkan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia diadakan secara dalam talian sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula pada Selasa, dipengerusikan Brunei. – BERNAMA