Tiga Rang Undang-Undang diluluskan di Dewan Negara

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Negara bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 yang berakhir hari ini, meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU).

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata tiga RUU berkenaan ialah RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) (Pindaan) 2021, RUU Kumpulan Wang Amanah Negara (Pindaan) 2021 dan RUU Levi Keutungan Luar Biasa (Pindaan) 2021.

- Advertisement -

Katanya, Dewan Negara turut sebulat suara melulus Usul Transformasi Parlimen dan membuat ketetapan bahawa transformasi Institusi Legislatif ini mesti disegerakan.

“Perjalanan mesyuarat kali ini turut mencatatkan sejarah penting apabila tiga Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara berserta keanggotaannya telah dibentangkan dan dipersetujui dalam Majlis Dewan Negara.

“Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan ialah Kesejahteraan Rakyat; Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan; serta Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah,” katanya dalam ucapan penutup di Dewan Negara, hari ini.

Dr Rais berkata, semua Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan akan menjadi sekutu penting kepada usaha mentransformasi Parlimen.

“Besarlah hasrat saya agar Ahli-Ahli Yang Berhormat semua dapat sederap, selangkah dan seiringan untuk kita mengangkat bukan sahaja Dewan Negara menjadi sebuah Dewan Perundangan yang benar-benar dihormati, tetapi lebih penting Parlimen itu sendiri berupaya kita daulatkan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Dewan Negara, Ketua Pentadbir Parlimen dan semua pegawai serta kakitangan bahagian Pengurusan Dewan Negara dan Parlimen atas kesungguhan mereka menjayakan sesi Dewan kali ini serta memastikan tidak berlaku penyebaran Covid-19 di Parlimen. – HARAKAHDAILY 26/10/21

- Advertisement -