Tanggungjawab sosial: KJMC beri suntikan vaksin percuma

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KELANA JAYA: Menyedari kepentingan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk golongan yang memerlukan, pihak Hospital Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia cawangan Selangor tampil menawarkan suntikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Islami, di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor.

Pengarah Hospital Kelana Jaya Medical Centre(KJMC), Tuan Haji Roslan Shahir Dato’ Mohd Shahir berkata,  KJMC ingin menjadikan acara berkenaan sebagai program CSR yang sentiasa terbuka kepada mana-mana golongan yang memerlukan dan boleh dibantu pihaknya. 

Advertisement

Mengulas lanjut, menurut Roslan, melalui program tersebut, pihaknya bersama Yayasan Amal Malaysia  telah mengenal pasti kategori kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas yang memerlukan suntikan vaksin Covid-19 khususnya dalam kalangan pelajar Maahad Tahfiz dan sebagainya yang akan diberikan secara percuma.

“Saya dan Dr Halimah Ali sebagai Pengarah KJMC berkolaborasi bersama Yayasan Amal Malaysia sebagai rintis jalan bagi pembuka jalan di masa hadapan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan,” ujarnya kepada HarakahDaily, di sini, hari ini.

Sementara, Dr Halimah Ali yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS pula berkata, pihak KJMC juga ingin membantu golongan lain yang memerlukan bantuan suntikan vaksin Covid-10 seperti anak-anak yatim.

“Sehubungan itu, kita juga menggalakkan kepada sesiapa  yang ingin tampil bagi melaksanakan CSR seperti program ini,” ujarnya.

Kerjasama erat (dari kiri), Azri, Dr Halimah dan Roslan Shahir bersama Pengerusi Maahad Tahfiz Islami Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Ustaz Hakimin Hafiz Husain.

Menurutnya, antara perancangan KJMC ialah ujian saringan Covid-19 bagi golongan yang sudah mencecah tahap 4 atau 5 jangkitan virus tersebut, dan bagi mereka yang  tidak mampu menanggung kos yang mahal. 

“Kita juga ingin membantu golongan rentan seperti pesakit kencing manis, buah pinggang, jantung dan sebagainya yang sudah menunggu lama di hospital kerajaan, jadi kita menawarkan harga yang berpatutan di KJMC.

“Ini merupakan salah satu cara  bagi  membantu golongan ini bagi mengurangkan beban yang dipikul,” tegasnya. 

Salah seorang pelajar Maahad Tahfiz Islami, Kampung Lindungan yang menerima suntikan vaksin Covid-19 pada hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia cawangan Selangor, Azri Mohamad Arish pula berkata, pihaknya sebagai sukarelawan membantu agar program CSR tersebut  berjalan dengan lancar.

“Sebenarnya KJMC bertindak sebagai pusat vaksin yang menerima masyarakat umum untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 di sini. Jadi untuk itu, Yayasan Amal Malaysia cawangan Selangor berkolaborasi dengan KJMC untuk mencari calon-calon yang sesuai.

“Contohnya, pada hari ini terdapat enam  orang pelajar yang berusia 12 tahun ke atas daripada Maahad Tahfiz terpilih untuk divaksinasi secara percuma oleh pihak KJMC,” katanya.  

Sementara itu, Yayasan Amal Malaysia tidak ketinggalan turut memberi cenderahati dan sedikit sumbangan kepada pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Islami Kampung Lindungan. – HARAKAHDAILY 26/10/2021