PIDM perlu tegas banteras sindiket penipuan

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sebagai badan berkanun yang antara mandatnya ialah mempromosi kestabilan sistem kewangan negara perlu tegas membanteras sindiket penipuan yang menggunakan nama PIDM.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata rakyat perlu disedarkan dengan pelbagai kaedah yang digunakan sindiket untuk melakukan penipuan.

- Advertisement -

Katanya, antara taktik yang digunakan untuk menipu mangsa ialah menggunakan kaedah saman, kad sim dan pertandingan.

“Walaupun asasnya, setiap orang yakin tidak tertipu, hakikatnya kaedah yang pelbagai ini tetap akan menjerat rakyat,” katanya ketika perbahasan pindaan Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kestabilan sistem kewangan negara bukan sahaja perlu dinilai dari segi kestabilan wang pendeposit dan rakyat bebas risiko kemalangan, tetapi perlu dinilai dari segi aspek kualitatif seperti bilangan rakyat yang mahir menguruskan kewangan sendiri.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli mencadangkan pendidikan kewangan berterusan terhadap anak muda dijadikan sebagai satu subjek pelajaran.

“Walaupun tidak wajib, pendidikan kewangan perlu diajar di universiti dan kolej bagi menyediakan anak muda kepada suasana pengurusan kewangan sendiri supaya mereka tidak terjebak dengan isu penipuan,” katanya.

Sementara itu, katanya masih ramai rakyat yang tidak faham berhubung kewangan Islam walaupun sektor itu berkembang dengan pesat.

“Pasaran sektor ini ke atas umat Islam seluruh dunia ini, masih belum diterokai sepenuhnya. Justeru hasrat pindaan ini untuk membuat kiraan yang berasingan antara konvensional dan Islamik adalah baik untuk mendedahkan kepada rakyat berhubung potensi kewangan Islam yang sebenar,” katanya

Beliau berkata, Islam meletakkan kewangan sebagai isu yang penting, malah dalam al-Quran, ayat paling panjang ialah berkenaan hutang piutang yang bermaksud kewangan bukan perkara yang remeh dalam Islam. – HARAKAHDAILY 26/10/21

- Advertisement -