56.3 peratus kanak-kanak layari internet sendirian

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KUALA LUMPUR: Penggunaan internet, terutama dalam kalangan kanak-kanak berumur antara lima hingga 17 tahun di negara ini meningkat dari 18.4 peratus pada 2016 kepada 47 peratus pada tahun lalu.

Lebih membimbangkan ialah laporan Kajian Pengguna Internet 2020 (IUS 2020) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati 56.3% daripada kanak-kanak melayari internet melalui peranti digital secara bersendirian.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata, hasil kajian itu juga mendapati penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu menyebabkan masyarakat perlu berada dalam rumah, sekali gus menyebabkan penggunaan internet termasuk kanak-kanak meningkat.

Sementara itu, katanya, hasil tinjauan pendapat umum mengenai Cabaran dan Persediaan Golongan Ibu dan Bapa Berkaitan Teknologi Digital oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada Mei dan Jun lalu, mendapati lebih 70 peratus ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak untuk memiliki peranti digital sendiri.

“Kebenaran itu bagi membolehkan peranti berkenaan digunakan sebagai medium pembelajaran, selaras dengan perkembangan kaedah pembelajaran sekarang, iaitu melalui dalam talian,” katanya menjawab soalan lisan Senator Ahmad Yahya di Dewan Negara, hari ini.

Ahmad bertanyakan kajian mengenai impak minda kepada kanak-kanak dan remaja daripada permainan video dalam internet yang mengandungi ciri keganasan dan keruntuhan akhlak.

Siti Zailah berkata, hasil kajian LPPKN mendapati tiga perkara utama yang membimbangkan golongan ibu bapa adalah berkaitan dengan ketagihan penggunaan, terdedah kepada pengaruh negatif dari media sosial atau laman sesawang yang tidak terkawal dan leka terhadap pembelajaran.

Sebagai langkah berjaga-jaga, katanya antara tindakan ibu bapa ialah mengehadkan masa penggunaan tidak melebihi tempoh empat jam sehari, memeriksa perisian peranti anak-anak, memasang aplikasi kawalan ibu bapa dan membenarkan penggunaan aplikasi yang mesra kanak-kanak.

Beliau berkata, walaupun tiada penemuan khusus mengenai impak terhadap minda kepada kanak-kanak dan remaja kesan daripada permainan video dalam talian yang mengandungi ciri keganasan dan keruntuhan akhlak, LPPKN melalui Geran Penyelidikan LPPKN mengadakan beberapa kerjasama kajian berkaitan keibubapaan digital dengan beberapa institusi pengajian tinggi.

Katanya, kajian berkenaan ialah Enabling Digital Parenting Modules To Help Malaysia Parents Nurture Digitally Resilient Children (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Model Penilaian Kesihatan Mental Berteraskan Teknik Gamifikasi (Universiti Kebangsaan Malaysia), Elucidating The Associations Between Digital Parenting Style And Digital Resilience Of Children In Malaysia (Universiti Utara Malaysia/UUM).

Kajian lain, katanya ialah Effect of Sexting Intervention Module (SIM) Using Prototype Willingness Model On Intention And Willingness To Sext Among Graduate Students (Universiti Putra Malaysia) dan Kesihatan Mental dalam Kalangan Remaja: Implikasi Persekitaran, Pendidikan dan Penggunaan Teknologi Semasa Pandemik Covid-19 (UUM). – HARAKAHDAILY 26/10/21

- Advertisement -