Program Kebun Komuniti beri manfaat 165,207 peserta

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KUALA LUMPUR: Program Kebun Komuniti (Kebuniti) mendapat sambutan menggalakkan penduduk bandar dan pinggir bandar sehingga kerajaan menyalurkan empat kali peruntukan bagi pelaksanaannya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata langkah itu dilaksanakan bagi membantu peserta menjana pendapatan pasca pandemik Covid-19 melalui pertanian secara hidroponik.

- Advertisement -

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM64 juta bagi manfaat 165,207 peserta di 22,385 lokasi seluruh negara yang melibatkan 47,938 individu, 42,282 komuniti, 32,135 institusi dan 51,652 sekolah.

“Kita buat tindakan susulan dengan menjadikan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) 2020 bagi membantu penduduk yang melibatkan peruntukan RM10 juta.

“Susulan sambutan yang menggalakkan, kerajaan menyuntik lagi bantuan sebanyak RM30 juta bagi pelaksanaan tersebut yang memberi manfaat tambahan kepada 39,608 penduduk,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator N Balasubramaniam pada sesi pertanyaan lisan mengenai sambutan masyarakat bagi menjayakan program pertanian komuniti yang dilaksanakan sejak 2014.

Dr Nik Muhammad Zawawi juga berkata, bagi menyokong kesinambungan program tersebut, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan, baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya kementerian mengalu-alukan permohonan, terutama penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19, terutama kategori B40 untuk memulakan projek pertanian.

“Kita mengalu-alukan Yang Berhormat mengambil kesempatan ini untuk membantu penduduk yang kehilangan pendapatan ketika musim pandemik dengan dana RM50 juta di bawah RMK12.

“Bagi mereka yang tiada tanah, kita galakkan mereka menerima bantuan secara geran, iaitu memperkenalkan kaedah pertanian hidrophonik yang berpotensi lebih besar sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/21

- Advertisement -