Demi Islam, sedia berjuang

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) sentiasa memberikan fokus kepada golongan anak muda di negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya. Pendaftaran automatik dan kelayakan mengundi kalangan mereka seawal 18 tahun pastinya menjadikan landskap politik tanah air berhadapan dengan landskap baharu berbanding dahulu.

Anak muda masa kini lebih kepada politik yang dinamakan dengan “politik indie” iaitu bebas dan tidak terikat dengan politik kepartian. Sifat anak muda masa kini lebih santai dan boleh berubah dari masa ke semasa tanpa boleh diikat dengan kepartian ini kerana mereka lebih mudah mengakses maklumat secara terus tanpa sempadan dan kawalan. Di samping mereka hanya melihat kepada “apa” yang dijanjikan dan diberikan oleh parti politik yang memerintah tanpa melihat “siapa” parti politik tersebut.

- Advertisement -

Dalam suasana sebegini Pemuda PAS Selangor mesti siap sedia dengan prinsip yang teguh dan strategi yang fleksibel iaitu:

i. Mempamerkan jati diri pemuda PAS yang memiliki syakhsiah mulia.

ii. Merancakkan pelbagai medium bagi lebih mendekati mendekati segmen anak muda yang berbeza cita rasa mereka.

iii. Menjadikan medan politik bukan sebagai medan menghukum tetapi medan berdakwah.

Berpolitik dengan bekerja dan matang

Majoriti anak muda yang membentuk 40 peratus populasi rakyat Malaysia ketika ini sedang sibuk membina keluarga, mengukuhkan kerjaya dan memastikan kesinambungan kehidupan mereka. Kesibukan anak muda masa kini perlu diberikan perhatian agar Pemuda PAS mampu menjuarai isu khusus berkaitan mereka dengan lebih dekat.

PAS mesti dizahirkan gerak kerja berpolitik mereka yang fokus bekerja secara matang, bukan sibuk berpolitik sehingga mengabaikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Teladan kerja dari menteri kalangan PAS dalam menerajui kementerian masing-masing seperti YB Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, YB Datuk Seri Takiyuddin Hasan serta menteri-menteri kalangan PAS yang lain, mestilah dizahirkan dan perlihatkan kepada rakyat betapa PAS merupakan sebauh parti yang berpolitik dengan bekerja dan matang. PAS akan terus bekerja, dilihat bekerja dan memastikan impak kerja dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.

Anak muda ‘geng kita’ kepada ‘calon kita

Anak muda tidak boleh lagi dipandang sinis tetapi mesti dilihat pada pada perspektif yang lebih maju kehadapan. Idea dan taktikal dalam menarik golongan ini mesti dipandang secara serius. Bukan hanya menarik sebagai pengikut tetapi menyediakan tempat selayaknya bagi mereka agar semangat, idea dan tenaga mereka dapat dimanfaatkan pada tempat selayaknya.

Dunia luar menyaksikan bagaimana pemimpin kalangan anak muda diangkat dan menjadi tonggak harapan dalam mengemudi pentadbiran negara mereka. Lihat UAE, Shamma Al-Mazrui – Menteri Belia UAE hanya berusia 25 tahun, Anupriya Patel – Menteri Kesihatan India (35 tahun), Simon Harris (33 tahun) – Menteri Kesihatan Ireland. Sebastian Kurz (33 tajun) – Menteri Luar Negeri dan Integrasi Austria (33 tahun), Nadiem Makariem (35 tahun) – Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia (35 tahun).

Undi 18 tahun: Dari cabaran kepada peluang

Penglibatan lebih ramai anak muda akan melahirkan sudut pandangan yang lebih segar berkenaan senario politik dalam negara. Perkara ini adalah kerana anak muda lebih terdedah kepada idea-idea modernisasi yang lebih progresif.

Mengikut Akta Umur Dewasa 1971, umur 18 tahun sebenarnya sudah diiktiraf sebagai seorang dewasa, matang dan rasional serta bertanggungjawab ke atas diri dan perlakuan sendiri, kerana mereka sudah terikat dengan undang-undang dan layak menandatangani kontrak.

Pemuda PAS mesti terkehadapan dengan menyediakan draf cadangan silibus politik peringkat sekolah menengah seperti pendidikan kewarganegaraan dan konsep-konsep asas demokrasi. Begitu juga kerangka program-program yang dilaksanakan kepada golongan seawal usia remaja dan belia seharusnya disertakan sekali dengan pembudayaan sikap belia yang prihatin, idealistik dan semangat dalam menabur bakti pada negara.

Begitu banyak ayat al-Quran yang menyentuh soal anak muda dan peranan mereka sekaligus membuktikan betapa penting dan besarnya peranan anak muda jika dimanfaatkan dengan betul mengikut lunas peruntukan syariah.

Anak muda dari perspektif Al-Quran

Pemuda yang berani menolak kebatilan dan maksiat. Firman Allah SWT:

قَالَ رَبِّ السِّجْنُ اَحَبُّ اِلَيَّ مِمَّا يَدْعُوْنَنِيْٓ اِلَيْهِ ۚوَاِلَّا تَصْرِفْ عَنِّيْ كَيْدَهُنَّ اَصْبُ اِلَيْهِنَّ وَاَكُنْ مِّنَ الْجٰهِلِيْنَ

“Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku! Penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka. Jika aku tidak Engkau hindarkan dari tipu daya mereka, niscaya aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentu aku termasuk orang yang bodoh.” (Surah Yusuf: 33)

Pemuda yang memiliki semangat tinggi dan tidak menyerah kalah. Firman Allah SWT:

وَاِذْ قَالَ مُوْسٰى لِفَتٰىهُ لَآ اَبْرَحُ حَتّٰٓى اَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ اَوْ اَمْضِيَ حُقُبًا

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada pembantunya, “Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua laut; atau aku akan berjalan (terus sampai) bertahun-tahun.” (Surah al-Kahfi: 60)

Pemuda berani menegakkan kebenaran dan menumpaskan kebatilan. Firman Allah SWT:

قَالُوْا سَمِعْنَا فَتًى يَّذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَه اِبْرٰهِيْمُ

“Mereka (yang lain) berkata, “Kami mendengar ada seorang pemuda yang mencela (berhala-berhala ini), namanya Ibrahim.” (Surah al-Anbiya’: 60)

Pemuda memiliki keimanan yang utuh. Firman Allah SWT:

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَاَهُمْ بِالْحَقِّۗ اِنَّهُمْ فِتْيَةٌ اٰمَنُوْا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنٰهُمْ هُدًىۖ

“Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.” (Surah al-Kahfi: 13)

Amat menarik sekali apabila Allah meletakan satu surah dalam al-Quran  yang berkait dengan pemuda dan menunjukan besarnya peranan pemuda dalam perjuangan Islam. Ia merupakan kisah pada rasul-rasul terdahulu bahkan di zaman Nabi Muhammad SAW juga dikelilingi dengan pemuda yang membantu perjuangan Islam sejak dari awal di Mekah sehinggalah ke Madinah dan seterusnya pembukaan Kota Mekah.

Kita bersyukur pada Allah swt kerana meletakan kita dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Kumpulan Islam yang menjadi mata rantai gerakan islah dan tajdid dalam meneruskan cahaya obor Islam yang tidak padam. Musuh Islam menjatuhkan dan memecahkan umat Islam, namun mereka gagal memadamkan cahaya Allah. PAS yang menjadi mata rantai perjuangan Islam tidak pernah mundur dalam pembawakan perjuangannya.

Yang paling penting ialah politik tidak boleh sama sekali berpisah daripada Islam. Peranan pemuda sangat besar dan penting mesti bergerak sebagaimana keimanan dan keyakinan yang terdapat dalam kisah pemuda Ashabul Kahfi. Walaupun tujuh orang asalnya berasingan, menyaksikan jahiliah yang berlaku, akhirnya berkumpul menyatakan yang benar walau terpaksa menghadapi cabaran.

يٰٓاَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ

Wahai orang yang (berselimut)

قُمْ فَاَنْذِرْۖ

bangunlah, lalu berilah peringatan!

Ceritakan kepada manusia semua akan kisah Sumayyah, Yassir dan para pejuang terdahulu yang telah syahid, berkorban di jalan Allah atas keteguhan keimanan. Walau mereka tak sempat melihat kemenangan Islam di zaman mereka, tetapi mereka telah membuktikan mereka berjuang, ganjaran syahid buat mereka. Mereka istiqamah sehingga akhir hayat mereka dalam memenangkan Islam.

Terima kasih dan penghargaan tidak terhingga diucapkan pada Ustaz Hanafi Zulkapli di atas jasa beliau dalam mengerakan Pemuda PAS Selangor. Kami mendoakan Ustaz Hanafi terus maju jaya dalam lapangan yang lebih luas bagi membawa aspirasi perjuangan Islam.

Bagi yang mengakhiri umur pemuda, saya mendoakan kalian terus maju dan bergerak membantu perjuangan Islam di kawasan masing-masing.

Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Ubid El-Batayhy dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Shah Alam yang menjadi tulang belakang dalam membantu menjayakan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Negeri Selangor.

Saya menyeru seluruh pemuda PAS Selangor gerakan seluruh jentera dan kekuatan agar kita dapat menguasai Negeri Selangor bagi melaksanakan Islam.

Teruskan perjalanan dengan mendapat berkat daripada Allah SWT. – HARAKAHDAILY 25/10/2021

Intipati ucapan penggulungan Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar pada Muktamar DPPNS ke-55, 24 Oktober 2021.

- Advertisement -