PAS pengaruhi dasar luar Malaysia

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: PAS sebagai sebahagian parti yang membentuk kerajaan turut mempengaruhi sebarang keputusan yang Malaysia buat berhubung Afghanistan.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato’ Kamarudin Jaffar, berkata peranan PAS adalah sama seperti parti lain dalam kerajaan yang membuat keputusan bersama dalam isu yang sangat penting berkaitan negara berkenaan.

Advertisement

“Seluruh dunia bersatu, kuasa besar bersama negara kecil mahu melihat Afghanistan dipulihkan secepat mungkin,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) di sesi pertanyaan Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang bermula hari ini, Guan Eng bertanyakan sama ada PAS mempengaruhi dasar luar negara kerajaan berhubung Afghanistan.

Menjawab soalan asal Guan Eng, Kamarudin berkata Malaysia berpendirian bahawa sebarang perubahan politik dalaman negara itu perlu berpaksikan kepada kepentingan pemegang taruh serta aspirasi rakyatnya sendiri, iaitu berdasarkan pendekatan rakyat Afghanistan memimpin, memiliki dan menguasai proses keamanan dan pendamaian kebangsaan.

“Di sini, terdapat keperluan dan kepentingan untuk menyelesaikan situasi di Afghanistan dengan cara perundingan dan muafakat inklusif yang melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat negara berkenaan dengan matlamat penubuhan sebuah kerajaan Afghanistan yang menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, katanya ketika Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Negara Islam (OIC) pada 22 Ogos lalu di Jeddah, yang turut disertai Malaysia, OIC telah menetapkan tiga pendirian, iaitu:

Katanya, pertama ialah mengukuhkan komitmen dan sokongan OIC terhadap Afghanistan seperti yang dinyatakan dalam resolusi yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak OIC dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar OIC.

“Kedua, mengetengahkan harapan masyarakat antarabangsa dari kepimpinan baharu di Afghanistan untuk mempromosikan pendamaian nasional dan mematuhi undang-undang antarabangsa serta resolusi dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ketiga, menggariskan kepentingan untuk melindungi dan menghormati hak kehidupan, keselamatan dan maruah rakyat Afghanistan dalam mematuhi Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR),” katanya.

Secara keseluruhan, beliau berkata negara anggota OIC bersetuju untuk memberi sokongan penuh terhadap penyelesaian di Afghanistan dalam mencapai perdamaian secara komprehensif dan berkekalan.

Katanya, OIC ketika ini memberi tumpuan kepada penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan dengan Menteri Luar Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein), juga telah mengadakan perbincangan mengenai Afghanistan dengan rakan sejawat beliau dari Arab Saudi, Indonesia dan Qatar serta Setiausaha Agung OIC.

Kamarudin berkata, pendirian Malaysia adalah selari dengan seluruh komuniti antarabangsa, iaitu memberi keutamaan kepada bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula Afghanistan.

Untuk tujuan ini, katanya Malaysia seperti negara lain berpandangan bahawa keterlibatan secara membina perlu dilakukan dengan pihak berkuasa di Afghanistan, manakala dalam amalan biasa berhubung isu pengiktirafan sesebuah negara, terdapat faktor tertentu yang perlu diambil kira.

“Antara faktor berkenaan adalah seperti isu keabsahan yang merujuk kepada tahap penerimaan rakyat negara berkenaan terhadap penguasaan dan penubuhan kerajaan di negara tersebut.

“Seterusnya, kerajaan yang dibentuk hendaklah bersifat inklusif yang merangkumi penyertaan pelbagai golongan termasuk etnik minoriti serta penyertaan wanita dalam pemerintahan bagi tujuan mencapai keamanan dan kestabilan berkekalan.

“Penyertaan wanita dalam pentadbiran adalah penting bukan sahaja daripada sudut memelihara hak wanita dan anak perempuan, malah aspek peranan dan sumbangan mereka kepada pembinaan sesebuah masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia akan terus memantau perkembangan di Afghanistan dan pada masa sama, Kementerian Luar Negeri bersedia menjadi pemudah cara kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara ini untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 25/10/21