Rondaan Jabatan Amal bantu perantau di perjalanan

- Advertisement -

TEMERLOH: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Temerloh telah menggerakkan anggotanya menjalankan tugas rondaan sebagai persediaan memberi bantuan kepada perantau yang pulang ke kampung.

Operasi digerakkan sempena kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan itu berfokus di sekitar persimpangan keluar Tol Temerloh, Tol Lanchang, Tol Chenor dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh.

- Advertisement -

Komandan AMAL Temerloh, Ahmad Safwan Akmal Mohd Nor mengetuai inisiatif untuk beramal kepada masyarakat itu menerusi beberapa perkhidmatan asas sedia diberikan anggotanya sepanjang rondaan.

“Ada kami temui sebuah van mengalami kerosakan fius utama di persimpangan keluar Tol Temerloh. Sebabnya van tersebut sudah lama tidak diselenggara. Selepas dibuat pemeriksaan dan berjaya dibaiki, van itu meneruskan perjalanan semula.

“Jadi kami nasihati pengguna jalan raya agar pastikan kenderaan diselenggara sebelum memulakan perjalanan jauh pulang ke kampung agar tidak berlaku situasi mendukacitakan,” ujarnya.

Bersama beliau adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS Temerloh, Badli Ahmad yang juga Ketua Kor Jurutera AMAL di mana mereka melaksanakan perkhidmatan ini secara sukarela dan percuma dengan bantuan semampunya. – HARAKAHDAILY 22/10/2021

- Advertisement -