Kerajaan Terengganu kembali hak rakyat

- Advertisement -

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | Foto AHMAD HILMI DERAS

BESUT:
Kerajaan PAS Terengganu komited menyelesai dan mengembalikan semula ribuan hak milik lot tanah pertanian dan perumahan ‘terkilan’ kepada peserta atau waris terdekat.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, seramai 44 pemohon Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dun Jerteh menerima geran tanah baru-baru ini.

- Advertisement -

Menurutnya, penerima terbabit antara 373 peserta yang dikembalikan semula hak tanah tersebut setelah hampir 20 tahun menanti.

“Alhamdulillah sudah sampai masa kita serahkan geran hak milik tanah kepada pemiliknya yang pernah jadi peserta asal RTB. Kerajaan negeri tetap komited untuk selesai masalah rakyat.

“Ini merupakan program yang pertama kali diadakan bagi Dun Jerteh. Manakala, baki selebihnya akan diselesaikan secara berperingkat dengan kadar segera, insya-Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Geran Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian dan Perumahan Paroh/Padang Tapong di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh.

Menurutnya juga ketika kerajaan PAS mentadbir Terengganu tahun 1999 hingga 2004, ribuan lot tanah RTB pertanian dan tapak rumah disediakan dan sebahagian diagihkan kepada peserta.

Wan Azhar berkata, walaupun terdapat kekangan terhadap tapak cadangan RTB, pihaknya sentiasa berusaha untuk menggantikan tapak cadangan yang baharu.

“Kami memohon maaf atas kelewatan mengagihkan geran tanah kerana faktor hak pemilikan tanah yang dicadangkan dahulu (1999-2004) telah ditukar statusnya selepas PAS Terengganu tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.

“Walau bagaimanapun, kita akan berusaha mencari ganti tempat yang lain untuk peserta yang terkilan. Ini termasuk 19 pemohon yang meninggal dunia, akan diberikan kepada ahli keluarga atau waris terdekat dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -