Kerajaaan digesa tarik kelulusan pengeluaran arak Timah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

POKOK SENA:
Kerajaaan digesa menarik segera kelulusan pengeluaran arak berjenama Timah biarpun produk berkenaan untuk diekspot ke luar negara.

Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Sheikh Mohamad Rodi Abdul Rahman berkata, nama yang tertera di botol arak itu jelas tidak menghormati umat Islam walau apa jua alasan yang diberi.

- Advertisement -

“Dewan Ulama PAS Kedah melahirkan rasa kecewa kerana ia seolah tidak menghormati umat Islam khususnya penggunaan nama sedemikian yang sinonim dengan orang Islam.

“Sewajarnya mereka (pengeluar arak berkenaan) menghormati Islam sebagai agama rasmi di Malaysia,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Difahamkan pada 7 Oktober lalu syarikat berkenaan melancarkan jenama arak Timah secara rasmi.

Arak jenama tersebut didaftarkan cap dagangan sejak 2019 ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dan menerima anugerah antarabangsa pada 2020.

Sheikh Mohamad Rodi berkata, perkara itu sepatutnya tidak berlaku khususnya di negara umat Islam, sekalipun tujuannya untuk kegunaan bukan Islam.

“Jangan merosakkan sambutan Maulidur Rasul dengan perkara yang mengguris perasaan dan hati umat Islam,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa arak lebih banyak mudaratnya, malah dilarang keras oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, sesungguhnya arak (khamar), judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak-anak panah adalah perbuatan dari perbuatan syaitan. Maka jauhilah semoga kamu berjaya.”

Beliau berharap kerajaan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani isu terbabit. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -