PAS kini mencorak dan mentadbir negara

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Perkembangan semasa menuntut PAS lebih bersedia di persada politik tanah air dalam mencorak dan mentadbir negara, setelah pula kedudukan parti ini bukan lagi di era pembangkang.

Yang Dipertua PAS Kawasan Indera Mahkota, Andansura Rabu yakin pertambahan PAS Cawangan menunjukkan parti ini sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat seterusnya menjadi peluang menarik ramai lagi bersama.

“Saya gembira dapati ramai Ketua PAS Cawangan kali ini yang muda-muda. Bagi saya ini satu petanda yang baik bagi PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM) kerana ramai pelapis sebagai pengganti. Orang muda lebih bertenaga, punyai banyak idea dan agresif kita alu-alukan.

- Advertisement -

“Ini bukan kerja seorang, bukan kerja kami yang duduk di atas pentas ini sahaja. Semua yang duduk di bawah, semua jawatankuasa termasuk lajnah-lajnah, dewan-dewan telah bertungkus-lumus meningkatkan prestasi melebihi sasaran kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai menyatakan penghargaan atas pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit oleh Ahli Jawatankuasa Sesi 2019-2021 pada Mesyuarat Agung Tahunan PASKIM Kali Ke-18 di Holiday Villa Cherating, Kuantan, di sini baru-baru ini.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah merasmikan mesyuarat ini melalui ucapan rakaman video yang dipancarkan secara tertutup menyampaikan amanat kepada para perwakilan.

Terdahulu, bekas Setiausaha PASKIM, Johari Yahya dalam ucapan penggulungannya menyeru semua PAS Cawangan untuk lebih maju ke hadapan dengan sikap agresif, proaktif, responsif dan melaksanakan kerja dengan memahami misi dan visi PAS.

“Dengan menyakini bahawa perjuangan kita adalah benar, sudah pasti kita akan melaksanakan kerja dengan bersungguh-sungguh, memberi kerjasama, komunikasi yang baik dan berkesan kepada semua pihak. 

“Sebelum ini kita hanya mempunyai Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, tetapi sekarang telah ditambah dengan Dewan Ulamak yang berjaya membuat Mesyuarat Agung pertama melalui Ahli Jawatankuasa Penaja, hanya menunggu kelulusan dari Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sahaja,” ujarnya. 

Wakil Jawatankuasa Urusan Ulamak, Ustaz Mohd Basri Arifin pula menjelaskan peranan yang digerakkan melalui NGO bagi menjaga kepentingan sekolah-sekolah tahfiz dan pondok di negeri ini, sebagai menjawab isu-isu pendidikan yang berbangkit.

Menurutnya, menerusi NGO berkaitan juga telah menyelesaikan isu-isu latihan dan perguruan, silibus pembelajaran dan peperiksaan, persijilan, akreditasi dan pengiktirafan, tahfiz dan pondok, juga telah memberi sumbangan semasa COVID-19. 

Menurut beliau lagi, pihak Ulamak telah mengadakan pelbagai program seperti Ijtimak Tarbawi, munajat setiap dan tazkirah juga taujihat atau ceramah motivasi untuk memberi suntikan semangat, memperkasakan jati diri kepada ahli-ahli. 

Ketua Muslimat PASKIM, Salwani Salleh pula menyentuh mengenai keizinan para suami kepada isteri dan anak-anak perempuan untuk melibatkan diri sebagai Ahli Jawatankuasa Muslimat di Cawangan dan Dewan.

Menurutnya, ia menjadi antara usaha memperkasakan parti, namun masih terdapat lagi di PAS Cawangan yang masih belum diisi dan mengharapkan agar kekosongan tersebut dapat diisi dengan segera untuk memperkemaskan gerak kerja.

Dalam pada itu, dua usul telah diterima tanpa bahas dari PAS Cawangan Chengal Lempong agar mengadakan kursus keusahawanan atau kemahiran atau sebarang aktiviti yang boleh meningkatkan sektor ekonomi para pengundi di DUN Beserah secara berkala. 

Usul kedua adalah cadangan untuk mengadakan latihan-latihan terkini dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kerana media ICT begitu cepat berkembang dan PAS harus lebih proaktif agar tidak terkebelakang dan tidak ketinggalan.

Mesyuarat kali ini juga menampilkan keputusan pemilihan Jawatankuasa bagi sesi baharu yang telah diumumkan oleh Ketua Jawatankuasa Pemilihan PAS (JKPP), Muttacohiri Ludin dari undian perwakilan seramai 264 perwakilan. 

Jawatan Pengerusi Tetap masih kekal disandang oleh Abd Rahman Ab. Aziz dan Timbalan Pengerusi Tetap, Azhar Mahmud, begitu juga Yang Dipertua kekal disandang Andansura Rabu, manakala Timbalan dan Naib Yang Dipertua juga kekal kepada Tengku Zaidi Tengku Musa dan Mohd Kasdi Kosnim. 

Manakala Jawatankuasa kerja seramai 16 orang iaitu Ahmad Azlan Abu Bakar, Felza Zubhiri Abdul Hamid, Jamil Senir, Mohd Nor Azran Mohamad, Mohd Johari Yahya, Mohd Hafizi Abdul HamidMohd Firdaus Md Nor dan Mohd Rahimi Roslan.

Juga Mohd Saufi Mohamad, Mohd Ibrahim, Mohamad Izwan Abu Bakar, Nasruddin Hassan, Shahrul Faizal Razali, Wan Asron Wan Jusoh, Wan Ismail Wan Ibrahim dan Zainal Abidin Mohamad. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -