Islam dan cara berfikir

- Advertisement -

RAMAI yang mengungkap istilah ‘Fikrah Islamiah’. Namun, banyak juga ungkapan seperti ini yang tidak bersifat realistik. Ada yang memahami istilah ini dengan menggambarkan seseorang mengisi borang sebagai ahli jemaah. Ada pula yang memahami istilah ini dengan membayangkan ertinya dengan takrifan ‘asobiyyah’.

Secara literalnyaFikrah Islamiah bermaksud pemikiran yang bersifat Islam. Atau dengan kata lain, berfikir dengan cara yang diajarkan oleh Islam. Di sini kita perlu faham, bahawa apabila kita menyebut Fikrah Islamiah, ia tidak dapat lari daripada dua perkataan, iaitu ‘berfikir’ dan ‘Islam’.

- Advertisement -

Apabila kita mengkaji di dalam al-Quran, banyak ayat yang menyuruh kita berfikir. Bahkan, fasa dakwah Nabi S.A.W di Makkah juga memberi fokus kepada pembentukan cara berfikir. Ringkasnya, untuk melihat cara berfikir Islam, ia sudah pun tersedia di dalam al-Quran dan Sirah Baginda S.A.W.

Mestilah dengan berfikir

Jika kita perasan, seseorang tokoh itu dikenali dengan ketinggian pemikirannya. Bukan diukur dengan rupa paras, atau keturunannya. Mereka itu digelar sebagai tokoh pemikir, manakala dalam Dunia Islam disebut sebagai pemikir Islam. Ini kerana, pemikiran mereka ini memberi jasa yang besar dalam sejarah manusia.

Tokoh-tokoh Barat contohnya, sering diperkenalkan di dalam buku-buku teks, sebagai tokoh pemikir. Nama-nama seperti Galilio Galilee, Abraham Graham Bell, Bernoulli dan sebagainya lebih diperkenalkan berbanding tokoh-tokoh Islam. Inilah cara Barat.

Kita perlu sedar, pemikiran itu adalah merupakan pembeza antara manusia dan binatang. Justeru, apabila kita ingin menyampaikan Islam kepada manusia yang mempunyai akal, kita perlulah merangsang pemikiran mereka agar berfikir. Begitu juga dengan sebuah gerakan Islam, yang bergerak untuk menjadikan manusia itu berfikir dengan betul.

Di sinilah yang perlu kita fahami dengan Fikrah Islamiah, yang digerakkan oleh gerakan-gerakan Islam. Gerakan Islam bukanlah gerakan yang membawa agenda larangan berfikir, apatah lagi membawa agenda pembodohan. Gerakan Islam perlu mencerdikkan umat sepertimana yang diajarkan oleh al-Quran dan Hadis.

Gerakan Islam sepatutnya sebuah gerakan yang merangsang orang supaya berfikir dengan betul (Islam). Cara berfikir Islam mestilah bersifat tersendiri. Bukannya dengan meng‘copy-paste’ pemikiran Barat, lalu diserapkan dalam gerakan Islam. Lebih teruk apabila menyatakan pemikiran Barat itu adalah cara berfikir Islam.

Apabila seseorang itu ingin menggerakkan agenda dakwah, dia mesti membawa Fikrah Islamiah ke dalam masyarakat. Pemikiran Islam ini mestilah dengan berfikir. Rangsanglah pemikiran masyarakat supaya berfikir dengan betul, bukannya hanya sekadar menyuruh ‘ikutlah saya’. 

Slogan ‘ikutlah saya’ dalam keadaan para pengikut itu tidak tahu ‘kenapa mesti ikut dia’, akan melahirkan sekumpulan manusia yang bertaklid buta. Mereka tidak tahu apa rasionalnya mengikut ajaran orang itu. Situasi inilah yang menyebabkan golongan terdahulu tersesat daripada kebenaran.

Wahyu pertama mencetuskan pemikiran

Agenda pertama Nabi S.A.W ialah wahyu berikut; 

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1) خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (5)

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan (4) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)”

Ayat ini jelas menunjukkan pentingnya rangsangan akal yang telah diberikan oleh Allah S.W.T. Iaitu, Allah S.W.T mencetuskan mengenai kekuasaanNya yang menciptakan, dan mengajarkan manusia, supaya manusia yang berakal itu berfikir. Bukan hanya sekadar menerima dan mendengar.

Sayyid Qutb menghuraikan ayat ini dengan meletakkan bahawa ilmu itu bersumberkan Tuhan. Selaras dengan ayat kelima. Di sini kita boleh melihat beza sumber ilmu antara Islam dan Barat. Islam meletakkan sumber ilmu itu ialah Allah S.W.T yang mengajarkan manusia yang diberikan akal. 

Manakala Barat menyatakan bahawa ilmu itu datang daripada akal mereka semata-mata. Sebab itulah cara berfikir Barat berbeza dengan Islam. Sumber ilmu yang dibahaskan di dalam ayat ini dilontarkan oleh Allah S.W.T supaya membuatkan manusia itu berfikir. 

Iaitu, berfikir dengan betul bahawa ilmu itu datang daripadaNya. Allah S.W.T bukan hanya meng‘claim’ bahawa Dialah yang mengajarkan manusia, tetapi Allah S.W.T terlebih dahulu membuktikan secara ‘real’ bahawa Dialah yang menciptakan manusia itu.

Masyarakat ketika itu berfikir penciptaan manusia itu adalah satu peristiwa semula jadi, hasil hubungan lelaki dan wanita. Namun, Allah S.W.T menyatakan bahawa manusia itu dicipta daripada segumpal darah, sebagai bukti bahawa Dialah yang menciptakan manusia.

Realiti ini terbukti pada hari ini secara ‘real’ setelah manusia itu berfikir dan mengkaji. Kajian demi kajian akhirnya lahirlah ilmu sains. Sepatutnya, semakin mengkaji, semakin mengenal Tuhan. Tetapi disebabkan serangan Sekularisme yang menyerap dalam dunia sains, lahirlah ilmu sains yang tidak mengenali Tuhan.

Kita perlu sedar, Allah S.W.T mencipta kita, dan mencipta akal kita. Akal kita bukan dicipta oleh orang-orang Barat. Sebab itulah Allah S.W.T melontarkan wahyu yang pertama ini selaras dengan cara berfikir manusia yang mempunyai akal yang sihat. Bukannya dengan menceritakan hikayat-hikayat yang tahyul.

Objektif yang jelas

Pemikiran Islam teracuan daripada al-Quran dan Hadis, iaitu bersumberkan wahyu. Lalu wahyu itulah yang memandu manusia cara berfikir dengan betul. Acuan inilah yang sepatutnya digunakan untuk menyampaikan Islam. Penyampaian Islam terangkum di dalam objektif di bawah:

وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِی كُلِّ أُمَّةࣲ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُوا۟ ٱلطَّـٰغُوتَۖ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”…”

(an-Nahl: 36)

Di sini kita perlu faham bahawa cara berfikir yang diajar oleh Islam, ialah meletakkan matlamat membawa manusia supaya menyembah Allah S.W.T, dan menjauhi Taghut. Iaitu berfikir dengan objektif yang jelas, bukannya berfikir tanpa halatuju.

Program-program dakwah yang dilaksanakan oleh para Nabi adalah program yang jelas matlamat dan objektifnya. Berbeza dengan pendekatan dakwah yang dilakukan oleh segelintir orang pada hari ini. Mereka menjalankan aktiviti dakwah, dengan menganjurkan keseronokan seperti penganjuran PubG dan sebagainya. 

Mereka mengatakan bahawa mereka menyampaikan Islam dengan strategi yang halus kononnya. Strategi yang dimaksudkan ialah menawarkan program-program yang menyeronokkan, dan seolah-olah memperdaya para peserta. Para peserta menyertai program tersebut kerana seronok, bukannya kerana inginkan Islam.

Para peserta menyertai program tersebut tanpa mengetahui objektifnya. Masing-masing berfikir hendak berseronok sahaja. Penganjur menganggap strategi halus ini bertujuan memikat orang kepada Islam. Sedangkan, kita tidak dapati Nabi S.A.W mengajak orang kepada Islam dengan cara sebegitu. Kesannya? Setelah berseronok program, mereka pun angkat kaki.

Cara Baginda S.A.W adalah dengan merangsang akal umatnya agar berfikir dengan betul. Lalu, dengan pemikiran yang betul, akan melorongkan mereka kepada mengenal Tuhan. Di sinilah yang melahirkan sebuah objektif yang jelas, iaitu membawa manusia menyembah Tuhan, dan menjauhi taghut.

Pertentangan objektif dengan taghut

Di dalam Surah an Nahl ayat 36 tadi, menjelaskan mengenai objektif yang jelas. Iaitu menyeru manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah S.W.T, dan menyeru manusia menjauhi taghut. Apa yang dimaksudkan dengan taghut? Allah S.W.T berfirman;

ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ یُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ یُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَـٰتِلُوۤا۟ أَوۡلِیَاۤءَ ٱلشَّیۡطَـٰنِۖ إِنَّ كَیۡدَ ٱلشَّیۡطَـٰنِ كَانَ ضَعِیفًا

“Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.”

(an-Nisa: 76)

Berdasarkan ayat ini, Dr Wahbah az Zuhaili menyatakan di dalam Tafsir Munir bahawa perjuangan menegakkan ‘taghut’ ini ialah perjuangan yang mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Perjuangan yang mempunyai kepentingan.
2. Perjuangan yang bertujuan tertentu selain daripada Allah.
3. Perjuangan yang bersifat material.
4. Perjuangan yang bertujuan memuaskan nafsu dan kemahuan, redha dengan keraguan syaitan.
5. Perjuangan meninggikan ketuhanan selain daripada Allah, atau perjuangan menegakkan penyembahan kepada makhluk dan dunia.
6. Perjuangan yang membantu dan bekerjasama dengan golongan kuffar.
7. Perjuangan yang gila untuk mendapat hasil dan mengaut untung.
8. Perjuangan yang didasari dengan tujuan kebanggaan dan kemegahan.
9. Perjuangan yang berdiri di atas keyakinan dengan kemampuan diri sendiri tanpa mengharap kuasa Allah.
10. Perjuangan yang menyerlahkan kemasyhuran dan populariti.

Imam Ibn Jarir at Thabari menyatakan;

 الصواب من القول عندي في الطاغوت أنه كل ذي طغيان على الله ،  فعبد من دونه ، إما بقهر منه لمن عبده ، وإما بطاعة ممن عبده له ، إنساناً كان ذلك المعبود ، أو شيطاناً أو وثناً أو صنماً أو كائناً ما كان من شيء 

“Pandangan yang tepat di sisiku mengenai maksud taghut itu ialah apa sahaja yang melampaui Allah S.W.T. Maka ia menyeru sembah selain daripadaNya, sama ada dengan paksaan bagi mereka yang menyembahnya atau dengan kesetiaan daripada penyembahnya. Sama ada yang disembah itu adalah manusia, atau syaitan, atau patung, atau berhala, atau apa juga benda.”

Sistem yang taghut

Kita melihat sejarah golongan terdahulu menyembah berhala, bagaimana pula realitinya hari ini? Walaupun hari ini penyembahan berhala masih dilakukan oleh penganut agama lain, tetapi realiti ideologi pada hari ini agak dahsyat juga. Kita perlu sedar bahawa penyembahan berhala adalah satu gambaran cara berfikir yang silap.

Justeru, walaupun hari ini orang-orang Barat kebanyakannya tidaklah menyembah berhala, namun mereka itu berfikir dengan cara yang silap. Kesilapan cara berfikir inilah yang melorongkan mereka kepada menjauhi Tuhan, dan tercenderung kepada taghut.

Antaranya, mereka mengemukakan sistem atau undang-undang yang bersifat taghut. Sistem atau undang-undang ini lahir daripada cara berfikir yang silap. Di dalam al-Quran menggambarkan wujudnya sistem atau undang-undang taghut ini;

أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِینَ یَزۡعُمُونَ أَنَّهُمۡ ءَامَنُوا۟ بِمَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡكَ وَمَاۤ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ یُرِیدُونَ أَن یَتَحَاكَمُوۤا۟ إِلَى ٱلطَّـٰغُوتِ وَقَدۡ أُمِرُوۤا۟ أَن یَكۡفُرُوا۟ بِهِۦۖ وَیُرِیدُ ٱلشَّیۡطَـٰنُ أَن یُضِلَّهُمۡ ضَلَـٰلَۢا بَعِیدࣰا 

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakimkan kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.”

(an-Nisa: 60)

Contoh situasi pada hari ini, ialah Sekularisme yang dipasarkan oleh Barat sejak sekian lama. Pemikiran ini cuba membebaskan pemerintahan atau sistem daripada unsur keagamaan. Ia melahirkan pemerintah-pemerintah yang disebut sebagai ‘berhakimkan kepada taghut’. 

Kita perlu faham bahawa sistem atau undang-undang yang taghut ini lahir daripada pemikiran atau ideologi yang salah. Sebab itulah, dalam memahami cara berfikir Islam, kita mesti menilai juga cara berfikir yang taghut, supaya ia menjadi pembeza yang jelas.

Gambaran ideologi Barat yang bersifat taghut

Huraian Dr Wahbah Az Zuhaili bagi ayat 76 Surah an-Nisa mengenai maksud taghut tadi, menggambarkan realiti ideologi atau pemikiran Barat pada hari ini. Ia boleh digambarkan dengan beberapa perkara berikut:

Pragmatisme dan Realisme merupakan ideologi Barat yang boleh difahami dengan makan keliling, atau survivalpolitik. Cara berfikir seperti ini akan menjadikan seseorang itu berjuang atas dasar kepentingan peribadi yang bersifat material.

Pemikiran ini juga lebih mendorong kepada kepuasan nafsu kebendaan (material) dan bermatlamatkan nilai untung. Pemikiran ini boleh menjadikan seseorang Muslim itu sanggup bekerjasama dengan penentang Islam, demi mencapai hasrat peribadinya. 

Maka, politikus yang mementingkan kepentingan peribadi, akan mewujudkan sistem dan undang-undang yang sengal. Lahirlah istilah seperti konsep pemerintahan Oligarki atau Tirani. Iaitu pemerintahan yang bukan untuk menjaga rakyat, tetapi kepentingan individu atau kumpulan tertentu sahaja.

Populisme merupakan satu pemikiran yang lebih fokus kepada janji palsu, berbohong, mengutamakan gimik dan sebagainya. Matlamatnya hampir sama dengan Pragmatism dan Realisme. ‘Pengidap’ pemikiran ini boleh bertukar-tukar watak dan cara berfikir demi mendapat keuntungan murahan.

Maka, sekiranya seorang Populisme itu lebih suka mewujudkan program-program gempak, atau menabur manifesto palsu. Setelah diangkat sebagai pemerintah, mereka hanya menjaga periuk nasi dan kepentingan kumpulan mereka sahaja.

Hedonisme adalah satu pemikiran yang ‘mengajar’ manusia ke arah mengejar kepuasan. Ia bermaksud, kepuasan yang tiada batasan, hiburan yang tiada had, nafsu yang tidak terkawal, dan keruntuhan moral. Pemikiran ini melahirkan masyarakat yang rosak dan tidak berakhlak

Pemerintah yang cenderung kepada pemikiran ini, akan melonggarkan undang-undang terhadap gejala-gejala maksiat dan keruntuhan moral. Program-program hiburan diperbanyakkan dan konsert akan dikembangkan atas alasan untuk mengurangkan tekanan jiwa rakyat.

Materialisme merupakan pemikiran yang berteraskan kepada ketidak-percayaan terhadap spritual, ketuhanan, hari kebangkitan dan sebagainya. Bagi mereka, kebendaan adalah segala-galanya, dan dianggap sebagai simbol kepuasan. Mereka yang terkesan dengan Materialisme akan berusaha mengejar keuntungan materialistik semata-mata, seperti kekayaan, pengaruh politik dan sebagainya.

Beberapa gambaran ini, menggambarkan kepada kita beberapa ideologi yang dicipta oleh Barat, yang berpunca daripada cara berfikir yang salah. Cara berfikir ini, bertentangan dengan cara berfikir Islam yang berteraskan kepada ‘menyembah Allah, dan menjauhi taghut’.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -