Ustazah Rosmani tumpu pemerkasaan Muslimat

- Advertisement -

KUANTAN: Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuantan Kali Ke-32 telah berjaya dilangsungkan dengan kehadiran 85 perwakilan tanpa pemerhati di Dewan Permata Camar, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Kuantan, Ustazah Azizah Ali dalam ucapannya menekankan untuk kepimpinan baharu bakal terpilih untuk memahami dan istiqamah melaksanakan gerak kerja parti sebagaimana tuntutan ayat 4 surah as-Saff.

Beliau juga mengingatkan mengenai jerat dan penguasaan syaitan atas manusia, lantaran itu menyeru agar memperbanyakkan istighfar dan memohon hidayah Allah, selain memperkasakan kemahiran berorganisasi dan menjaga akhlak berjamaah.

Terdahulu pada 27 September lalu telah disempurnakan majlis perasmiannya oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andasura Rabu untuk Mesyuarat Agung PAS Kawasan-kawasan dan Dewan-Dewan secara serentak.

“Pada tahun ini Mesyuarat Agung (adanya) pemilihan dari peringkat Cawangan sehingga peringkat Pusat. Jadi pilihlah orang yang boleh membawa parti dan meletakkannya di landasan yang betul dan bertepatan dengan visi PAS untuk menegakkan syariat Allah S.W.T di atas muka bumi ini.

“Dan dalam masa yang sama, pemimpin yang dipilih itu boleh melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan kepada mereka dan jelas tanpa ada sebarang agenda dan kepentingan peribadi.

“Jadi, setiap kita mesti bersedia jika dipilih, dilantik dan dikehendaki oleh jamaah, jangan menolak dan jangan pentingkan diri sendiri atau rasa tidak mahu terlibat dalam hal-hal kepimpinan parti.

“Harapan diletakkan di bahu kita untuk digalas dan untuk menonjolkan keupayaan kita sebagai parti yang boleh diberikan kepercayaan memimpin, memerintah dan mentadbir negeri dan negara di masa akan datang,” ujarnya yang juga ADUN Beserah.

Pemilihan kali ini yang dilaksanakan secara e-undi menyaksikan pengisytiharan kepimpinan yang terpilih bagi sessi 2022/2023 bertukar tangan daripada Azizah, 69, kepada Ustazah Rosmani Mustafa, 47.

Rosmani yang merupakan Timbalan Ketua Muslimat PAS Kuantan sesi lalu dalam ucapan penangguhan memperingatkan beberapa perkara melibatkan kepimpinan sebagai tanggungjawab dan pengaplikasian konsep tafahum dan takaful.

Beliau juga mahu memperkasakan program di peringkat Muslimat PAS Cawangan serta kesediaan berdepan cabaran era digital, selain menyeru pimpinan untuk sedia menerima teguran dan meningkatkan kualiti kerja. – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -