Ada apa dengan Shah Rukh Khan

- Advertisement -

APABILA disebut nama Shah Rukh Khan (SRK), pastinya seluruh rakyat Malaysia mengenalinya. Di India, tempat kelahirannya sendiri, jangan cakap lah. Dia seorang jutawan melalui kegiatan seninya sama ada lakonan, mahupun pengiklanan. Seorang bintang filem yang digilai ramai suatu ketika dahulu dan masih laku sehingga kini.

Filem-filem lakonannya sekitar awal 90-an telah menjadikan industri filem Hindi di Mumbai, atau dikenali dengan jolokan ‘Bollywood’ meletup dengan hebatnya setelah mengalami kesuraman pada tahun-tahun 80-an. Gandingannya dengan Madhuri Dixit, Kajol, Rani Mukerji, Juhi Chawla, telah menggemukkan poket-poket pengusaha filem dan yang berkaitan dengannya.

- Advertisement -

Walaupun lagu-lagu ‘hits’ yang dinyanyikan oleh beliau dan para pelakon lain dalam filem seperti Kuch-Kuch Hota Hai, Dilwale Dulhania Le Jayenge, Dil To Pagal Hai itu adalah nyanyian penyanyi latar seperti Udit Narayan dan Lata Mangeshkar, namun apabila diadakan konsert, peminat mereka tetap mahukan SRK dan pelakon filem itu sendiri yang beraksi di pentas kerana mahu melihat mereka daripada penyanyi asalnya, sekalipun mereka tahu SRK hanya menggerakkan bibirnya sahaja, bukan betul-betul menyanyi.

Sehinggakan sebuah filem lakonannya, Dilwale Dulhania Le Jayenge, pernah mencatatkan rekod Bollywoodditayangkan di pawagam paling lama tanpa henti sepanjang 1,009 minggu. Sememangnya tahun-tahun itu adalah tahun kejayaan filem Hindi, terutama yang dilakonkan oleh SRK. Peminat tidak mengira apa latar belakang SRK, sama ada dia seorang Islam yang beramal dengan suruhan agama Islam, ataupun tidak. Yang penting dia kacak dan berjaya menambat hati peminat dengan lakonannya.

Disebabkan itu juga, ada gadis-gadis Melayu yang jatuh hati dengan ‘Mat Bangla’ yang datang mencari rezeki di Malaysia. Asalkan hidung mancung, dada berbulu, rupa ala-ala pelakon Bollywood, dia kira ‘on’. Bagi jejaka Melayu yang berhidung kemek, apa lagi yang jika tiada pekerjaan, tiada lah peluang bagi mereka ‘mengorat’. ‘Mat Bangla’ lebih kaya dan bergaya, laksana pelakon Bollywood, lebih afdhal bagi sesetengah gadis Melayu.

Apa yang saya ingin ceritakan di sini ialah, saya bersama rakan-rakan saya, terutama orang Terengganu yang pada kebiasaan petang Jumaat, melayan filem Hindi semenjak dahulu, turut terjebak dengan filem-filem Bollywood ketika itu. Sehinggalah pada suatu waktu, saya mendengar kuliah Ustaz Sidek Noor berkenaan kisah yang terjadi kepada sepasang suami isteri yang amat meminati filem Hindi. Mereka ada seorang anak perempuan yang berumur sekitar empat atau lima tahun.

Mereka mempunyai timbunan VCD atau DVD filem-filem Hindi di rumah mereka. Pada suatu hari, sedang mereka menaiki kereta, mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat. Bapanya melihat melalui cermin belakang anaknya sedang menyusun 10 jarinya diletakkan di dadanya dan mengadap ke kiri kereta, sambil menundukkan kepalanya. Bila dia lihat ke kiri, rupanya ada sebuah kuil Hindu di situ. Terkejut dengan perbuatan mereka itu, setelah berbincang dengan ustaz, mereka membuang semua VCD dan DVD itu.

Seorang lagi pendakwah dan bekas ilmuan agama Hindu, Ustaz Fitri Abdullah pernah bertanyakan saya, adakah dalam filem-filem Hindi itu, tiada adegan di kuil mereka? Ya benar, seingat saya ketika menonton dahulu, memang sentiasa ada adegan di dalam kuil. SRK pernah melakonkan watak sebagai penganut Hindu dan dia menyembah patung-patung di dalam kuil tersebut. Saya tidak mahu menjatuhkan hukuman, tetapi ia menjadi satu persoalan besar, boleh kah isu tauhid diperolok-olokkan? Bukan kah ia akan menjadi sungguh walau kita bergurau? Hanya yang berautoriti sahaja yang mampu menjawabnya.

Sekarang, dia juga mengalami masalah besar, iaitu anaknya ditangkap kerana dituduh memiliki dadah di dalam sebuah kapal persiaran. Dan kebetulan, rakan saya dari India yang sama-sama bekerja di sini, menghantar sebuah video lama, wawancara SRK dengan pemberita. Jelas dalam temubual itu, kata SRK, dia akan membenarkan anaknya mencuba semua benda, dari perempuan sehinggalah kepada dadah.

Dan sekarang, dia melihat sendiri hasilnya. Namun sayang, masih ramai yang tetap memujanya. Saya tidak mahu memandang rendah atau menghina dirinya, tetapi sekadar ingin menyampaikan nasihat dua orang ustaz tadi, agar kita menghindari kegilaan kepada filem atau pelakon-pelakon yang jelas menjauhkan kita dari agama kita, walaupun pelakon itu zahirnya Islam.

Kini, netizen sedang memarahi Senator dari PAS apabila bertanya dalam Dewan Negara, adakah peningkatan kes bunuh diri di Malaysia di kalangan orang muda kerana dipengaruhi drama Korea? Bagi netizen seperti mereka ini, drama Korea bukan penyebabnya. Sedangkan kita tahu yang drama Korea juga adalah salah satu hiburan rekaan yang mahu memperdayakan umat Islam. Kita orang Islam sentiasa ditipu dengan hiburan. Mereka gunakan segenap peluang bagi mengembangkan agama mereka, termasuklah menggunakan orang Islam sendiri. Hanya kita yang boleh mengawal diri kita untuk menghindarinya.

Sehingga kini, apabila kita menonton atau setelah lama menonton kedua-dua produk hiburan ini, adakah iman kita makin bertambah? Tahukah anda yang Korea adalah negara yang menghalalkan zina secara sah di sisi undang-undang mereka? Apa diharap dari mereka untuk membawa kita ke jalan yang lurus? Setelah mereka sendiri bengkok? Ingat pesan Rasulullah dalam Hadis mengikut musuh sampai ke lubang biawak?

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 18/10/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -