Kurang enak jadi Muslim?

- Advertisement -

APABILA kita, orang Islam dihina, dimaki, kita tidak boleh membalas hinaan itu sebagaimana mereka lakukan. Dengan cacian dan makian, jika kita kembalikan kepada penghina, ia akan menyebabkan taraf kita sama sahaja dengan mereka. Sebut lah apa yang ingin mereka sebut, bodoh, bangang, celaka, kita hanya disuruh bersabar, sambil diberi ingatan mengenai kelebihan orang yang bersabar.

Tidak cukup dengan itu, kita dihidangkan pula dengan kisah para Anbiyak yang kerja mereka adalah berdakwah, kemudiannya, mereka diseksa, dihina malah sehingga dibunuh. Kisah berkenaan tukang kayu dalam surah Yaasin yang mengajak orang kampungnya mengikut Nabi yang datang berdakwah, sehingga dia mati dipukul, menjadi tauladan kita.

- Advertisement -

Betapa sukarnya Mariam mahu menjelaskan kepada masyarakatnya bahawa Isa A.S adalah anaknya yang sah, melalui suatu proses luar biasa yang dikurniakan Allah. Beliau dimaki, dinista, dituduh pelacur oleh masyarakatnya, hanya mampu mendiamkan diri. Setelah Nabi Isa A.S dewasa, tiada pula Baginda diarahkan oleh Allah supaya membalas semula semua kejian itu, mewakili ibunya. Hanya sabar dan sabar, sehingga lah Baginda hendak dibunuh, tetap lah Baginda bersabar.

Malah dalam perang sekali pun, membalas hanya sekadarnya sahaja. Dan jika musuh meminta berdamai, Allah menyuruh kita berdamai, seperti dalam surah al-Anfal. Apa yang ada dalam hati mereka, serahkan kepada Allah. Ketahanan sebegini bukan ketahanan biasa-biasa. Ia memerlukan satu latihan yang tinggi lama dan berkekalan. Contoh seperti mengerjakan solat dengan betul, selalu berdoa, selalu berzikir, selalu mengaji al-Quran, bersedekah dengan istiqamah, maka akan keluar lah akhlak yang baik, yang seperti disebutkan di atas, ada pada para Anbiyak untuk kita contohi.

Tetapi, bagi menyempurnakan semua ini, ia memerlukan satu proses yang sungguh panjang, bukan sehari dua, bukan seminggu dua dan tidak pula sebulan dua. Ia adalah hasil daripada kesabaran yang bertahun-tahun lamanya. Maka yang ghalib mendapat manafaat atau ilmu ini, ialah para ulamak yang telah dinobatkan menjadi waris kepada para Anbiyak, bersama para pengikutnya.

Tidak terbina segala kesabaran, akhlak dan juga kebaikan seperti yang dimiliki para Anbiyak, yang diiktiraf Allah ini kepada mereka yang gopoh, suka meniru cara musuh iaitu dengan akhlak terkutuk, memfitnah bagi kononnya menegakkan keadilan dan seumpamanya. Matlamat tidak menghalalkan cara. Amat ramai manusia yang bersikap sedemikian, sambil mereka mendabik dada, mendakwa mereka lah golongan yang diredhai Allah, walau jalannya tergelincir.

Maka kepada mereka yang percaya yang mereka sedang berjuang di atas nama Allah, semestinya memerhatikan tanda aras ini. Adakah kita menuruti perjalanan para Anbiyak dalam menghadapi ujian di dunia ini dengan sabar, atau perangai kita sama sahaja dengan musuh? Ini lah yang selalu ditekankan oleh pimpinan PAS agar ahlinya bersabar dan tidak gopoh dalam berjuang menegakkan Islam.

Pernah kata Presiden PAS ketika ditanya untuk membalas fitnah lawan dalam masa berkempen, beliau menjawab, kalau boleh, cara yang makruh pun kita cuba elakkan, jangan kata yang haram. Menjelaskan kepada kita, beliau sungguh bersabar dalam menghadapi fitnah. Bagi ahli PAS, kita boleh menjadi dari kalangan orang-orang yang sabar dalam perjuangan dengan mengikut langkah-langkah pimpinan.

Duduk dalam usrah, supaya diri kita sentiasa dinilai oleh naqib dan sentiasa ada hubungan persaudaraan. Duduk dalam majlis ilmu bagi mendapatkan ilmu-ilmu yang menguatkan diri kita dari tekanan musuh. Tunduk dan patuh kepada arahan pimpinan sama ada suka atau tidak, dalam hal yang tidak melanggar hukum-hukum Allah. Selalu mengamalkan ajaran-ajaran yang warid daripada Rasulullah S.A.W seperti membaca al-Ma’thurat, melazimi membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran, bertahajud dan sebagainya.

Lihat sahaja bagaimana Presiden PAS, ketika mana masih dalam musafir dan kesakitan di sebuah hospital di Turki, menerima rawatan, tetap mengerjakan solat Dhuha yang sunat itu, apa lagi yang fardhu. Setiap Jumaat, sedaya upayanya, jika berada dalam negara, akan menyampaikan kuliah mingguan yang sudah lebih 40 tahun beliau istiqamah dan dua kali tamat mengajar. Juga tahajud yang beliau lakukan secara konsisten. Begitu juga almarhum TG Nik Abdul Aziz yang dikatakan hanya tinggal beberapa kali sahaja tahajud dalam hidupnya.

Jadi dengan kekuatan mereka yang dapat kita lihat sendiri kerana amalan khusus mereka yang kuat itu, kita mesti belajar untuk meniru mereka yang mana ilmu asalnya daripada Rasulullah. Dengan keadaan sekarang, fitnah datang dalam berbagai bentuk dan juga penjuru, kita memerlukan kesabaran untuk menghadapinya. Lihat lah musuh yang tidak putus-putus memaki kita, walau apa pun yang kita buat. Yang benar sekalipun mereka kutuk, apa lagi kalau tersalah. Yang penting, kita mahukan syurga Allah. Kalah dan menang dalam berjuang, itu urusan Allah.

Jadi, ia kelihatan kurang enak menjadi seorang Muslim, tidak bebas membalas mengikut kehendak dendam kita dan kita terkurung dengan hukum, tidak sebagaimana musuh Islam. Tetapi percaya lah, semua itu akan bertukar menjadi keseronokan setelah kita mati dan berjumpa semula pada kehidupan kedua di akhirat, bagi mereka yang mempercayainya. Sabar lah dengan ujian dan amalan. Tidak lama, sedikit sahaja lagi untuk kita semua mati dan akan berjumpa Allah. Musuh kita juga akan mati. Ia pasti.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 18/10/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -