Cabaran besar laksana fasa pemulihan lebih menyeluruh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemulihan kembali negara daripada pandemik Covid-19 perlu melibatkan segenap aspek kehidupan bagi pembinaan semula negara termasuk perpaduan dan kebudayaan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cabaran besar sekarang bagaimana menjadikan fasa-fasa pemulihan lebih menyeluruh dan cemerlang berbanding sebelum ini.

- Advertisement -

Oleh itu katanya, Pelan Pemulihan Negara (PPN) perlu menyediakan strategi yang tuntas untuk Malaysia bangkit kembali dari impak pandemik Covid-19 dengan mengenal pasti sektor ekonomi yang perlu diberi keutamaan.

“Juga perlu diberi tumpuan kepada pelancongan, pendidikan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh jangka pendek dan sederhana,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum itu beliau menghadiri sesi ramah mesra dan dialog bersama warga Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) yang terdiri daripada ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah, felo-felo kanan, felo serta kakitangan institut terbabit.

Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan Dato’ Dr Radzi Mohd Jidin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut MASA Tan Sri Sulaiman Mahbob, felo-felo kanan antaranya Prof Dato’ Dr Denison Jayasooria, Prof Dato’ Seri Dr Awang Sariyan dan Dato’ Dr Madeline Berma.

Pada program itu Muhyiddin berpeluang bertemu, berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dalam banyak perkara terutama yang menyentuh isu pandemik Covid-19 dan MPN.

Bekas perdana menteri itu juga berkata, apa yang sedang dilakukan kerajaan sekarang diharap menjadi lebih baik daripada sebelum pandemik.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Institut MASA kerana berjaya menganjurkan majlis ini dan berharap institut ini dapat meneroka lebih banyak bidang penyelidikan dalam isu-isu yang melibatkan rakyat seperti kemiskinan, pendidikan dan pembinaan negara bangsa,” ujarnya.

Institut MASA merupakan sebuah badan pemikir bebas yang ditubuhkan dengan fokus awal untuk merangka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Institut itu mempunyai 12 felo yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial dan pendidikan. – HARAKAHDAILY 15/10/2021

- Advertisement -