PRN Melaka: Kesepakatan parti politik tunjang kemenangan

Shahir Adnan
- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berharap agar parti politik mempunyai kesepakatan dan gabungan mantap bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua DPIM, Shahir Adnan berkata, walaupun senario politik berubah sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), namun strategi kekuatan gabungan dan muafakat antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah tunjang dalam menentukan kemenangan.

- Advertisement -

Menurutnya, perkara yang menjadi dilema hari ini adalah hala tuju Barisan Nasional (BN). Adakah BN mahu bersama PN atau kekal sendirian, atau mahu mendampingi Pakatan Harapan (PH)?

“Sejarah menunjukkan pertandingan tiga penjuru memberikan kelebihan kepada PH. Contoh terdekat ialah enam daripada 15 kerusi yang dimenangi oleh PH dalam PRU14 lalu iaitu di N07 Gadek, N09 Durian Tunggal, N14 Kelabang, N21 Duyong, N23 Telok Mas dan N24 Bemban yang sebenarnya kalah oleh gabungan undi jika digabungkan undi BN dan PAS (Mungkin kini PN),” ujarnya apabila dihubungi HarakahDaily di sini hari ini.

Di samping itu kata beliau, tiada lagi istilah Abang Besar dalam politik. Oleh itu, konsep kesamarataan dan muafakat perlu difahami antara parti-parti politik. Ego perlu dilandaikan demi rakyat.

Katanya lagi, sekiranya tiada muafakat antara parti politik maka rakyat akan menghukum sekali lagi dengan lebih perit. Ketika itu, mungkin tiada lagi kawan politik yang akan menghulurkan tangan ketika mereka lemas.

Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membuat keputusan itu.

Ia berlaku selepas Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Sulaiman Md Ali mengutuskan surat pembubaran kepada Tun Mohd Ali susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Empat bekas ADUN itu ialah Dato’ Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Dato’ Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Dato’ Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Dato’ Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – HARAKAHDAILY 14/10/2021

- Advertisement -