UMK perkenal produk eksklusif wafer emas

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkenalkan produk eksklusif wafer emas untuk membantu 45 pelajar yang tidak bergraduat kerana masalah kewangan termasuk tidak mampu membayar yuran konvokesyen.

Timbalan Naib Canselor UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, usaha itu sebagai dedikasi pihak universiti meraikan graduan yang menerima ijazah pada hari konvokesyen yang akan diadakan secara hibrid pada 20 hingga 25 November ini.

- Advertisement -

Katanya, dijangka 1000 keping wafer seberat satu gram akan dikeluarkan pada edisi konvokesyen tersebut untuk dijadikan cenderamata kenang-kenangan sempena konvokesyen UMK.

“Harga bagi seunit wafer emas itu dijual pada harga RM320 untuk berat satu gram dan menyasarkan 1000 unit jualan wafer emas edisi khas dalm masa terdekat.

“Keistimewaan produk wafer tersebut ialah mengetengahkan rekaan menarik berlatar belakang UMK yang bercorak cokmar konvensyen UMK dan Jata Negeri Kelantan.

“Ketulenan emas bermutu tinggi yang dihasilkan sebagai token atau cenderamata kenang-kenangan ekslusif dan aset simpanan terbaik jangka masa panjang,” katanya selepas majlis pelancaran produk eksklusif edisi konvokesyen UMK kali ke-10 dan 11, di sini hari ini.

Terdahulu berlangsung majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) atara UMK dengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan memorandum perjanjian (MoA) antara UMK dengan Kelantan Gold Trade Sdn Bhd.

Majlis itu disempurnakan Dr Nik Maheran dan Ketua Oegawai Eksekutif PMBK, Abdul Rashid Mohd Yusoff dan disaksikan anggota Exco kerajaan negeri Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ad Rahman serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Moh Zabri Yusoff.

Dalam perkembangan sama Abdul Rashid berkata, UMK merupakan universiti awam pertama yang mejalankan kerjasama bagi memupuk minat graduan dalam dunia pelaburan emas.

Katanya, kerjasama itu diharap dapat memberi ilham kepada graduan dalam usaha mencari kerja dan usahawan dalam bidang perniagaan emas yang menguntungkan pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 14/10/2021

- Advertisement -