KASA kaji wujudkan mekanisme pematuhan Matlamat Pembangunan Lestari

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mempertimbangkan untuk mewujudkan mekanisme bagi memastikan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dipatuhi oleh semua kementerian dan agensi.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata agenda SDG secara am merangkumi dimensi berkaitan kemajuan masyarakat, kemiskinan, kesihatan, pendidikan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar yang bertujuan untuk pembangunan serta kemaslahatan manusia dan bumi.

- Advertisement -

Katanya, skop SDG yang merangkumi 17 matlamat turut melibatkan pelaksanaan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.

Sehubungan itu, katanya KASA menggariskan dasar dan saranan yang ingin dicapai dengan pemantauan, pelaporan, penguatkuasaan dan tindakan undang-undang.

“Setiap kementerian perlu meletakkan sasaran yang perlu dinilai dan prestasinya perlu diukur menjelang 2030 oleh KASA.

“Pelan Strategik KASA 2020-2030 secara langsung telah menyumbang kepada pelaksanaan indikator tertentu di bawah enam daripada 17 matlamat SDG, manakala baki terletak pada kementerian lain,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) di Dewan Rakyat, hari ini.

Enam matlamat SDG ialah air bersih dan kebersihan; industri, inovasi dan infrastuktur; bandar dan komuniti lestari; penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab; tindakan iklim; dan kehidupan bawah air.

Berikutan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) pada bulan hadapan, Tuan Ibrahim berkata, Malaysia terikat dengan pelaporan Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Sehubungan itu, katanya mekanisme ke arah pematuhan SDG yang lebih kukuh akan dibincangkan dari aspek pelaporan dan penilaian dengan usaha ke arah itu sedang dikuat kuasa melalui pemantauan dan peruntukan undang-undang.

“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak kementerian dan agensi di samping pemantauan, pelaporan dan penguakuasaan, agenda SDG dapat kita patuhi,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -