Orang ramai mengeluh gangguan bekalan air kembali lagi

Nik Dania Nik Daniel
- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Isu gangguan bekalan air di Lembah Klang sudah terlalu kerap terjadi bagaikan tiada kesudahan, dengan pelbagai alasan diberikan sebagai puncanya yang termasuklah disebabkan pencemaran, paip pecah dan bocor, tekanan air rendah dan terbaharu, dari 13 hingga 16 Oktober ini ekoran pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan.

Hasil tinjauan HarakahDaily mendapati, orang ramai sudah tidak tahan lagi menghadapi masalah tersebut dan menggesa agar kerajaan Selangor dapat menyelesaikan isu ini dengan kadar segera bagi mempermudahkan urusan harian rakyat.

- Advertisement -

Seorang suri rumah, Nik Dania Nik Daniel, 36, yang tinggal di Ampang, Selangor berkata, isu gangguan air di Selangor sudah banyak kali dialaminya sekeluarga termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Isu ketiadaan bekalan air di Selangor ini sudah banyak kali berlaku dan saya ingin bertanya, bilakah masalah ini akan selesai?

“Tidak kira sama ada bagi orang bujang atau yang berkeluarga seperti saya, isu ini memang menyusahkan rakyat.  Apa pun alasan pihak berwajib kenapa isu ini seolah-olah tidak akan berakhir dan mungkin akan berulang lagi di masa hadapan, rakyat marhaen seperti saya ini sudah tak tahan lagi,” tegasnya.

Menurutnya lagi, pada tahun 2019, tidak kurang 10 kali gangguan bekalan air berlaku di Selangor. 

“Pada tahun 2020, seingat saya pada bulan Oktober sahaja sudah beberapa kali berlaku gangguan air. Kes kualiti air disebabkan pencemaran, kes tekanan air rendah, kes paip bocor dan pecah, dan yang terbaru ialah pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan senggaraan dijadikan alasan sebagai punca gangguan bekalan air di Selangor. 

“Bagi saya, ini dah lebih kepada krisis, sebab ia bukan pertama kali berlaku tetapi dah kerap sangat terjadi. Tak kiralah gangguan bekalan air yang terbaharu ini adalah berjadual sebab pihak yang menanggung beban ialah rakyat. Kenapa tiada penyelesaian atau pelan jangka panjang untuk atasi krisis ini?” soalnya.

Tambah Nik Dania, dia dan keluarga telah mengambil keputusan untuk tinggal di hotel sepanjang  tempoh ketiadaan bekalan air tersebut dari 13 hingga 16 Oktober ini.

“Cuma bagi saya, mana mungkin setiap kali krisis bekalan air berlaku saya kena tinggal di hotel? Bayangkan bagi mereka yang tidak berkemampuan dan mempunyai anak-anak kecil yang ramai, pasti krisis ini sangat membebankan rutin harian kehidupan mereka,” ujarnya.

Sementara bagi Hafiz Saadin pula, sebagai penduduk di Selangor, dia sudah lali dengan isu ketiadaan bekalan air ini. Masalah ini berlarutan sehingga dia sudah penat untuk mengemukakan aduan mengenai masalah ini. 

Menurutnya, bekalan air adalah satu keperluan bagi semua orang untuk menjalankan aktiviti kehidupan seharian seperti mandi, membasuh baju dan sebagainya.

Hafiz Saadin

“Sebagai persediaan bagi menghadapi ketiadaan bekalan air esok hingga 16 Oktober ini, saya telah membuat beberapa persiapan seperti menadah air secukupnya di dalam beberapa tong. 

“Seperti biasa sekiranya air yang saya simpan habis nanti, saya akan mengangkut air dari tempat mengambil sumber air dan membawa pulang ke rumah saya di tingkat lima melalui tangga,” katanya kepada HarakahDaily.

Sehubungan itu, Hafiz merayu kepada pihak bertanggungjawab agar dapat menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan air ini dengan agar tidak  kerap berulang lagi pada masa hadapan  supaya penduduk di Lembah Klang dapat menjalani rutin kehidupan tanpa sebarang gangguan.

Dalam pada itu, peniaga, Muhammad Hafis Zulpakar, 27, berkata, masalah ketiadaan air sudah biasa disebabkan kekerapan isu yang sama berulang di kawasan tempat tinggalnya di Taman Melati, Gombak, Kuala Lumpur. 

“Seringkali isu air ini berlaku di kawasan tempat tinggal saya dan dikhabarkan puncanya adalah disebabkan oleh paip pecah dan masalah pencemaran. Cuma yang terbaharu ini, untuk pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan pula.

“Gangguan bekalan air ini menyukarkan saya melakukan aktiviti harian. Tambahan pula, saya bekerja sendiri membuat kek, jadi hal ini boleh menjejaskan aktiviti perniagaan saya,” tegasnya. 

Muhammad Hafis

Katanya lagi, bagi persediaan menghadapi ketiadaan air di rumahnya, dia telah menadah air dan membuat beberapa persiapan awal seperti telah awal-awal lagi membasuh baju dan apa sahaja yang penting dilakukan. 

“Saya  akan cuba berjimat cermat dalam menggunakan air untuk memasak dan membasuh baju lagipun tangki rumah saya tidak besar. Rasa-rasanya separuh hari saya sudah kehabisan bekalan air tangki saya kerana saya tinggal bersama-sama rakan serumah saya dan berkongsi dengan mereka. 

“Kadang-kadang saya terpaksa pergi ke rumah adik-beradik saya atau pun tidur sahaja di hotel berdekatan apabila masalah ketiadaan air melanda,” ujarnya. 

Terdahulu, sebanyak 998 kawasan di sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 13 hingga 16 Oktober ini.

Menurut Air Selangor Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan berkata, wilayah terlibat antaranya Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Masalah gangguan air di Lembah Klang kali ini adalah susulan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1). -HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -