Misi pimpinan baru pemuda pertahan parlimen Bachok

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Kepimpinan baharu Dewan Pemuda PAS Bachok menggerakkan misi mempertahankan kemenangan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di kawasan parlimen berkenaan.

Ketuanya, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, agenda itu sebagai teras dan tunjang gerak kerja Dewan Pemuda kawasan berkenaan sebagai persiapan awal menghadapi PRU.

“Hasrat itu dicetus selepas saya diberi amanah sebagai Ketua Pemuda Bachok sesi baru. Diharap kita boleh bina semula Pemuda PAS kawasan lebih baik berbanding kawasan-kawasan lain.

- Advertisement -

“Insya-Allah kita harap kita menjadi sayap yang penting bagi PAS kawasan dan Dewan Pemuda PAS Kelantan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Bachok di Kampung Tok Burung di sini.

Parlimen Bachok mengandungi Dun Pantai Irama, Dun Tawang dan Dun Jelawat. Sejak PRU 1990 sehingga sekarang parlimen Bachok hanya sekali dimenangi BN pada PRU 2004. Begitu juga Dun Jelawat.

Mohd Firdaus dipilih sebagai ketua sempena Mesyuarat Agung PAS Tahunan Dewan Pemuda PAS Bachok kali ke-57 Jumaat lepas.

Sebelum ini beliau memangku jawatan tersebut selama setahun lapan bulan, akan memacu kepimpinan Dewan Pemuda PAS Bachok bagi sesi 2021-2023.

Mohd Firdaus yang juga Timbalan Pengerusi Jabatan Amal Kelantan berkata, di bawah kepimpinannya beliau merangka beberapa langkah bagi memperkukuh sokongan anak muda kepada PAS.

Antara aktiviti yang bakal dilaksanakan termasuk memperkasakan Jabatan Pembangunan Remaja di bawah Dewan Pemuda PAS Bachok dan Program Tarbiah Anak PAS (ProtaPAS).

“Kita merancang menarik lebih ramai sokongan anak muda. Kita juga akan anjur beberapa program untuk merealisasikan langkah tersebut.

“Usaha lain memastikan golongan muda memahami asas perjuangan PAS, selain itu kita buat program ProtaPAS bagi memberi pendedahan terhadap manhaj perjuangan PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2021

- Advertisement -