Santai di pantai: Awasi keselamatan anak-anak

Keindahan Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu sering menjadi tumpuan pengunjung untuk beriadah.
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Ibu bapa yang berhasrat membawa keluarga masing-masing bersantai di pantai pada hujung minggu perlu mengawasi keselamatan anak-anak mereka berikutan cuaca yang tidak menentu sekarang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Dato’ Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu mengundang risiko yang begitu berbahaya terutama kepada kanak-kanak.

- Advertisement -

Menurutnya, pada masa yang sama, ibu bapa juga mesti memastikan keadaan semasa pantai pada setiap masa.

“Jika pantai yang dikunjungi berombak besar, maka  amat wajar jika ditunda untuk sebarang aktiviti perkelahan apa lagi membabitkan kanak-kanak. Wajar juga sekiranya ibu bapa imerujuk penduduk tempatan ketika untuk berkunjung ke pantai pada ketika ini,” ujarnya.

Tambah Md Anizam, penduduk tempatan lebih arif suasana pantai di tempat tinggal meretasama ada sesuai untuk beriadah atau sebaliknya.

Md Anizam (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Presiden Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Yap Heng Or di Kota Bharu pada hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media sebagai mengulas kejadian lemas yang membabitkan tiga beradik di muara Sungai Kampung Mangkuk, Setiu pada Sabtu lalu.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada Presiden Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Yap Heng Or semasa meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di sini hari ini.

Dalam pada itu menurutnya lagi, penjagaan  keselamatan anak-anak ketika beriadah di pantai sangat penting dan perkara itu tidak boleh dipandang ringan.

“Jaket keselamatan juga perlu ada, malah semua aspek keselamatan mesti diambil kira,” katanya.

Sejak tiga minggu lalu, tempat-tempat riadah di beberapa buah pantai di negeri ini  mula menjadi perhatian orang ramai untuk beriadah bersama-sama ahli keluarga masing-masing. 

Suasana itu dapat dilihat di Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu, Pantai Bisikan Bayu (PBB) di Semerak, Pasir Putih dan Pantai Irama di Bachok.

Sehubungan itu, jumlah pengunjung yang mengunjungi pantai dijangka bertambah dengan drastik susulan kerajaan pada hari ini mengumumkan kebenaran untuk merentas negeri bermula esok, 11 Okt 2021 bagi individu yang lengkap dua dos vaksin. – HARAKAHDAILY 10/10/2021

- Advertisement -