JAM Kinabatangan bantu pantau SOP kempen derma darah

Oleh BASITH SAMAD

Advertisement

KINABATANGAN: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kinabatangan membantu Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kempen derma darah di Dewan Danau Ria, di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah JAM Sabah, Haris Abdul Rachim, berkata pihaknya dimaklumkan kempen derma darah itu bagi mencukupi keperluan unit tabung darah Hospital Kinabatangan.

Katanya, kempen anjuran UPPM Lamag itu mendapat kerjasama dengan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kinabatangan dan Unit Tabung Darah Hospital Kinabatangan.

“JAM Sabah akan sentiasa bersiap sedia menghulurkan bantuan bagi mengeratkan lagi jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan.

“Dengan kekuatan anggota seramai 10 orang, JAM Sabah berusaha membantu program hari ini dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Menurut Haris, pihaknya bertanggungjawab memastikan penderma memakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera, serta menggunakan cecair pembasmi kuman sepanjang berada di lokasi di samping menggalakkan ahli JAM turut menderma darah.

Sementara itu, pengarah program dari UPPM Lamag, Jumaidin Lakalla berkata kempen derma darah itu merupakan program julung kalinya yang dikendalikan oleh UPPM Lamag bersama JAM Kinabatangan dan sambutan diterima itu melepasi sasaran daripada pihaknya.

“Kami amat berterima kasih atas bantuan JAM Kinabatangan dalam memastikan program hari ini berjalan lancar dan kami akan terus berkolaborasi bersama dalam program begini akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2021