Penyatuan parti Melayu elak berulang episod hitam

Shahir Adnan
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Penyatuan parti-parti politik orang Melayu di negara ini begitu penting bagi mengelakkan episod hitam hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berulang.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, suasana politik di Melaka sekarang dianggap sebagai terjemahan keadaan politik rakus yang masih berlaku.

“DPIM menzahirkan rasa cukup hampa dengan tindakan sebilangan wakil rakyat dan pemimpin politik yang terus menunggang nama rakyat demi menghalalkan matlamat politik peribadi.

- Advertisement -

“Apa yang berlaku di Melaka merupakan sandiwara politik sehingga jatuhnya kerajaan negeri ketika negara belum lagi keluar daripada wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini.

Isnin lepas empat Adun penyokong kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Dato’ Seri Utama Sulaiman Md Ali sehingga kerajaan Perikatan Nasional tumbang.

Adun terbabit dua daripada Umno serta masing-masing seorang Bersatu dan Bebas.

Ekoran itu Ketua Menteri mencadangkan supaya Dewan Undangan Negeri Melaka dibubar dan ia dipersetujuan Yang Dipertua Negeri.

Shahir juga berkata, Bersatu ditubuh Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Umno ketika itu berdepan banyak kes penyelewengan termasuk 1MDB.

Oleh itu katanya, perseteruan Umno dan Bersatu wajib dinoktahkan dengan mengamalkan ‘politik matang dan berlapang dada’ seperti dianjurkan PAS.

“Pada masa yang sama, semua pihak perlu menghindari daripada menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati parti lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2021

- Advertisement -