Oleh IBNU JANIE
TIDAK ada yang lebih ditakuti oleh rakyat Melaka terutama dalam kalangan orang Melayu selain daripada melihat Pakatan Harapan (PH) dan DAP kembali menjadi kerajaan.
Selama 22 bulan Melaka di bawah pentadbiran PH yang majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan adalah daripada DAP cukup menjadi satu mimpi ngeri bagi orang-orang Melayu di Melaka. Cukuplah sekali itu!
Dan pada masa ini rakyat Melaka akan ‘berperang’ sekali lagi untuk menentukan pemerintahan baharu Negeri Hang Tuah ini selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada Selasa lalu.
Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen dalam satu sidang media di Hotel MITC pada Selasa menawarkan untuk bekerjasama dengan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.
Pengerusi Badan Perhubungan BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Rabu ada memberikan maklum balas terhadap cadangan Rafiq itu dan berjanji untuk memanjangkannya kepada pucuk pimpinan BN untuk dipertimbangkan.
Dan pada sebelah malamnya pula, Rauf membuat kenyataan bahawa BN tidak akan bekerjasama dengan Bersatu untuk PRN ini. Ini susulan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum itu yang menegaskan bahawa BN menolak kerjasama dengan Bersatu sebagai maklum balas kepada tawaran PN Melaka itu.
PAS yang mempunyai hubungan politik dengan kedua-dua parti ini melalui PN dan MN tidak putus asa terus berusaha agar tidak ada pertembungan tiga penjuru antara PN dan BN dalam PRN ini juga untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan seterusnya.
PAS melihat ancaman PH-DAP terhadap survival orang Melayu jauh lebih mudarat berbanding dengan perselisihan sesama sendiri dalam kalangan parti-parti Melayu yang boleh menjurus kepada kemungkinan tewasnya semua parti-parti utama Melayu ini jika berlaku pertembungan tiga penjuru.
PRN kali ini tidak wajar untuk dijadikan eksperimen untuk menguji kekuatan peribadi parti-parti Melayu ini kerana ia akan membawa kepada satu malapetaka yang panjang iaitu untuk sekurang-kurangnya lima tahun yang akan datang.
Dan dengan desakan kepada keperluan untuk menghentikan budaya lompat parti yang disuarakan oleh semua parti politik daripada blok kerajaan mahu pun pembangkang melalui pindaan Perlembagaan, penulis percaya ia akan direalisasikan dalam masa terdekat.
Jika ini benar-benar dilaksanakan itu bermakna sekiranya PH-DAP sudah mendapat kuasa pasti ia akan berterusan selama lima tahun. Tidak boleh berlaku lagi apa-apa usaha untuk menukar kerajaan dengan memujuk mana-mana ADUN untuk melompat parti.
Benar, tiga penjuru tidak semestinya akan memberi kelebihan kepada PH semata-mata. Namun ia meletakkan risiko yang tinggi kepada BN atau PN.
BN mungkin menang dan dapat membentuk kerajaan bersendirian, manakala PN dan PH jadi pembangkang.
PN juga ada kebarangkalian untuk menang dapat membentuk kerajaan bersendirian, manakala BN dan PH pula jadi pembangkang.
Begitu juga halnya dengan kebarangkalian kemenangan pada PH. Dan peluangnya mungkin sama rata.
Namun dengan BN dan PN bergabung membentuk satu pakatan yang kuat kita hampir pasti boleh mengalahkan PH. Dan orang-orang Melayu di Melaka boleh tidur malam dengan tenang tanpa diganggu mimpi ngeri duduk di bawah pemerintahan DAP.
Jadi bagi penulis, PAS, Umno dan Bersatu harus berfikir panjang untuk berdepan secara tiga penjuru dalam PRN ini semata-mata untuk bereksperimen kerana kita bakal membayar dengan harga yang sangat mahal. Masa itu menyesal sudah tidak berguna. – HARAKAHDAILY 7/10/2021